10 individu termasuk seorang wanita tempatan dicekup selepas terlibat dalam aktiviti perjudian atas talian dan penipuan pelaburan tidak wujud di ibu negara dalam dua serbuan semalam.

KUALA LUMPUR – Seorang wanita dan tiga warga China merupakan antara 10 individu yang didicekup polis kerana terlibat dalam aktiviti perjudian atas talian dan pelaburan tidak wujud.

Mereka menjadikan dua buah rumah di ibu negara sebagai pusat panggilan operasi judi dan penipuan pelaburan tidak wujud itu.

Tiga daripada mereka yang ditahan merupakan lelaki warga China, menurut Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah.

Katanya, bertindak atas maklumat penipuan atas talian, sepasukan Polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju melakukan serbuan secara serentak semalam.

“Hasil serbuan di dua unit kediaman di Jalan Tembaga, Off Jalan Pahang di sini polis telah berjaya membuat tangkapan ke atas enam lelaki dan seorang wanita warganegara Malaysia dan tiga lelaki warganegara China.

“Mereka disyaki terlibat dalam aktiviti penipuan atas talian (perjudian atas talian, pelaburan tidak wujud dan penipuan pembelian atas talian),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, siasatan awal mendapati kesemua mereka yang ditangkap itu bekerja sebagai operator untuk mencari pelanggan serta membuat panggilan dan mempromosikan perjudian atas talian melalui media sosial.

Katanya, dua kediaman tersebut disewa oleh kesemua suspek dengan bayaran antara RM3,500 sehingga RM5,000 sebulan.

Menurut Ashari, mereka dipercayai bergiat aktif dalam aktiviti penipuan dan judi dalam talian sejak Oktober 2020.

“Hasil pemeriksaan lanjut polis juga berjaya merampas pelbagai peralatan termasuk dua unit monitor komputer, seunit pemprosesan pusat komputer (CPU), 32 buah telefon bimbit, lima keping kad ATM, lima buah komputer riba, modem dan peralatan lain dalam menjalankan kegiatan tersebut.

“Siasatan dijalankan di bawah dua Seksyen iaitu Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4(1)(C) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

“Pihak polis akan melipatgandakan usaha dan melaksanakan tindakan berterusan bagi membanteras dan seterusnya menghapuskan kegiatan pengoperasian penipuan online (calling center) ini dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu dan sindiket yang terlibat sama secara langsung atau tidak langsung dalam kegiatan haram ini.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau maklumat boleh menyalurkannya ke IPD Wangsa Maju di talian 03-9289 9222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0584/ 585 atau mana-mana balai polis berhampiran,” kata beliau. – MalaysiaGazette