Seramai 112 pelanggan sebuah pub/kelab malam di ibu negara diserbu dan dikompaun berjumlah RM580,000 polis JPJKK KL kerana terlibat aktiviti dilarang sebagai mengingkar SOP PPN dan Akta 342 yang masih berkuatkuasa.Foto Kredit: JPJKK KL

KUALA LUMPUR – Seramai 112 pengunjung yang leka  berhibur di sebuah pusat kelab malam di ibu negara melanggar prosedur operasi standard (SOP) diserbu dan dikompaun polis malam tadi.

Turut dikenakan kompaun adalah pemilik pusat hiburan itu yang gagal memastikan pematuhan SOP oleh pelanggannya.

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Kuala Lumpur,  Dattuk Azman Ayob berkata, serbuan itu dilakukan sekitar pukul 9 malam tadi.

Katanya, seramai 21 pegawai dan anggota JPJKK KL terlibat dalam serbuan  hasil maklumat risikan polis.

“Hasil serbuan di premis hiburan itu mendapati seramai 112 orang awam iaitu pengunjung terdiri daripada 59 lelaki dan 53 wanita sedang leka berhibur tanpa mematuhi SOP yang ditetapkan di bawah Akta 342 dan Pelan Pemulihan Negara 2021.

“Pemilik premis berkenaan yang didapati gagal memastikan pengunjungnya mematuhi SOP ketika berada dalam premis telah dikeluarkan kompaun berjumlah RM25,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Azman, seramai 112 pelanggan berhibur sambil meminum arak tanpa mematuhi SOP seperti penjarakan fizikal yang ditetapkan dan  telah dikenakan kompaun berjumlah RM580,000 iaitu purata RM5,000 setiap seorang.

Katanya, dalam serbuan sama, polis turut merampas 80 botol arak jenis Liquor yang mana 37 daripadanya belum dijual kepada pelanggan.

“Kita telah mengadakan ujian saringan urin secara rambang ke atas 32 individu yang terdiri daripada 16 lelaki dan 16 wanita dan enam daripadanya iaitu dua lelaki dan empat wanita kesemuanya tempatan dikesan positif dadah terlarang Benzo, methaphetamine, amphethamine dan ketamin di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952

“Kesemua kompaun dikeluarkan mengikut peraturan 17 Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPB) 2021 Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 3  iaitu melakukan aktiviti terlarang dalam pub dan kelab malam,” tegasnya.-MalaysiaGazette