GEORGE TOWN – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan mengkaji kaedah terbaharu bagi membolehkan golongan muda di negara ini memiliki kediaman sendiri.
Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, bagi mengatasi masalah itu pihaknya akan memperkenalkan beberapa kaedah termasuk pembayaran deposit agar golongan terbabit mampu memiliki rumah mampu milik.
Jelas beliau, langkah itu akan dilakukan sebagai permulaan susulan masalah pemilikan rumah baharu bermula dari segi pembayaran deposit.
“Kita lihat dari segi konteks anak muda mampu meningkatkan pemilikan harta atau kekayaan mereka dengan memiliki kediaman sendiri di mana nilai rumah yang dibeli ketika usia muda akan meningkat berkali ganda.
“Selain itu, saya juga telah berbincang dengan Menteri Kewangan untuk memperkenalkan semula skim My Home 2.0 dalam belanjawan tahun 2022 agar ia menjadi satu penggalak kepada golongan muda memiliki rumah mampu milik berharga antara RM250,000 hingga RM300,000.
“Isu yang sama juga telah dibincangkan dengan Bank Negara Malaysia dalam mempermudahkan golongan berkenaan membeli rumah,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas meninjau kerja-kerja pembinaan Rumah Mampu Milik PR1MA – Ideal Residency selain menyerahkan surat tawaran kepada 20 bakal pembeli di Bukit Gelugor hari ini.
Majlis berkenaan turut dihadir Ketua Menteri, Chow Kon Yeow; Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo dan Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ram Karpal Singh.
Mengulas lanjut, Reezal Merican berkata, pihaknya juga kini dalam kajian menyediakan Lembaga Perumahan Negara bagi memastikan pembinaan perumahaan mampu miliki dalam negara selari dan bersistematik.
“Cadangan itu sudah diluluskan di peringkat Kabinet ketika Datuk Zuraida menjadi Menteri KPKT dan peruntukan sebanyak RM3 juta diberikan untuk membuat kajian dalam tempoh dua.
“Sekarang ini kita lihat ada banyak perbadanan termasuk di negeri-negeri dalam pembinaan rumah jadi kita mahu selarikannya agar strategik lebih bersasar dapat dilakukan,” kata beliau. – MalaysiaGazette