AK Ramalinggam

KUALA LUMPUR – Setiausaha Eksekutif MIC, AK Ramalingam kesal terhadap pihak tertentu yang menggangu inisiatif membantu golongan belia India B40 demi agenda politik.

Baru-baru ini kecoh di laman sosial dakwaan kononnya berlaku penyewelengan berkaitan geran kewangan Unit Transformi Masyarakat India (MITRA) bagi Projek Aquaculture Entrepreneurship (MACEP) yang juga dikaitkan dengannya.

Ramalingam  menegaskan MACEP adalah satu inisiatif yang dirancang  khususnya bagi kumpulan belia India B40.

“Saya sendiri telah lancarkan inisiatif ini pada tahun lepas setelah dilantik menjadi Ahli Jemaah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

“MACEP merupakan sebuah program latihan keusahawanan dalam bidang penternakan akuakultur yang akan membolehkan peserta memperolehi pengetahuan, kemahiran serta kit permulaan memulakan perusahaan penternakan akuakultur selain memberi tumpuan kepada penternakan ikan Jade Perch yang berasal dari Australia kerana mempunyai pasaran yang meluas.

“Pada peringkat awal, perbincangan bagi merealisasikan inisiatif bersama Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique; Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M.Saravanan dan Presiden MIC Tan Sri SA Vigneswaran dengan persetujuan penyertaan seramai 1,000 orang belia India terdiri daripada 10 orang peserta mewakili 100 kawasan Parlimen untuk MACEP.

“Kita juga telah tarik lebih 1,000 belia India sertai MACEP ini malah MITRA telah mengadakan lawatan ke pusat latihan sebelum meluluskan peruntukan bagaimanapun sehingga kini kita masih lagi belum terima apa-apa dana walaupun sudah tandatangan perjanjian kontrak,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Kata Ramalingam lagi, dirinya komited dan serius dalam membantu golongan beliau India malah telah menggunakan dana sendiri terlebih dahulu dengan menempah anak ikan fingerlings selepas menandatandatangani kontrak perjanjian pada Disember 2020.

“Disebabkan saya tidak mahu belia yang akan terlibat dalam program MACEP lewat dalam menerima hasil, maka saya telah melakukan tempahan awal dengan menggunakan dana saya sendiri. Justeru itu, saya terpaksa mengalami kerugian disebabkan tiada penyaluran dana daripada pihak MITRA.

“Berikutan penjelasan ini, saya ingin meminta kepada mereka yang telah menuduh saya supaya tampil ke hadapan dan membuat laporan polis sekiranya dana daripada MITRA sudah disalur dan disalahgunakan oleh saya.

 “Saya menyeru semua pihak agar jangan terus memfitnah demi kepentingan politik kerana ianya hanya akan merugikan masyarakat kita sendiri,” katanya.

 Beliau berharap masyarakat India, khususnya belia agar jangan meruntuhkan inisiatif berkenaan demi kepentingan politik sesetengah pihak sebaliknya  berganding bahu dan merealisasikan inisiatif MACEP dan membuktikan masyarakat India boleh melahirkan usahawan yang berjaya dalam industri akuakultur.- MalaysiaGazette