Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun beramah mesra bersama pemenang di Dewan Perdana NUR Putrajaya, Sempena Hari Kanak-Kanak Kebangsaan 2021. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 16 OKTOBER 2021.

KUALA LUMPUR –  Datuk Seri Rina Harun berikrar akan terus memperjuangkan yang terbaik demi kepentingan golongan kanak-kanak di negara ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, statistik Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan sehingga Mei lalu, seramai 9.69 juta penduduk Malaysia terdiri daripada kanak-kanak dan kerajaan telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi golongan tersebut.

Menurutnya, pihaknya telah menstrukturkan pelbagai elemen dalam penyediaan bantuan buat kanak-kanak termasuklah yang ketika ini terjejas teruk akibat pandemik Covid-19 melanda negara.

“Covid-19 telah menyebabkan kanak-kanak hilang ibu, bapa atau kedua-dua dan peniaga sehingga menjadi topik hangat dalam kalangan rakyat. Sehingga 14 Oktober, KPM telah merekodkan seramai 5,173 murid menjadi yatim, yatim piatu atau hilang peniaga.

“Bermula dari tahun ini juga, kerajaan telah bersetuju untuk menaikkan kadar bantuan kanak-kanak yang berusia bawah tujuh tahun layak menerima RM200 seorang manakala umur tujuh ke atas pula akan peroleh bantuan RM150.

“Untuk pertama kalinya juga kadar bantuan maksimum kanak-kanak dinaikkan kepada RM1,000 daripada yang sebelum ini sebanyak RM450 sekeluarga.

“Kita juga ambil tindakan proaktif dengan penubuhan Yayasan Anak Prihatin Keluarga Malaysia yang merupakan aspirasi Keluarga Malaysia KPWKM untuk memastikan kesejahteraan dan kebajikan anak-anak terjaga sentiasa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada pelancaran Hari Kanak-Kanak Kebangsaan dengan tema ‘Anak Kita Masa Depan Kita’ di kementeriannya di sini hari ini.

Sambung Rina lagi, kerajaan turut menyediakan sejumlah RM30 juta bagi penubuhan 150 taska di tempat kerja.

“Bantuan khas kepada penguasa taska bawah Pemulih turut disalurkan kepada penguasa dengan meluluskan permohonan 2669 buah taska dengan peruntukan RM7.3 juta.

“Bagi dunia digital yang kini menjadi peneman anak-anak, kerajaan juga mahu memastikan keselamatan dan perlindungan anak-anak tidak terjejas dengan buli siber atau jenayah seksual dalam talian, Kementerian telah menubuhkan Jawatankuasa Tindakan Bersepadu Pengurusan Isu Kanak-Kanak Dalam Talian.

“Kita juga jalankan advokasi kempen banteras jenayah seksual kanak-kanak di media sosial serta video pendek, ini adalah antara langkah pencegahan dan kita amat komited serta pandang serius.

“Kemeterian juga telah telah perkenalkan KAKTUS sebagai perlambangan kepada perlindungan kanak-kanak oleh Kerajaan dan Keluarga Malaysia. Kita juga komited tambah baik pusat jagaan terutamanya OKU dengan menekankan pengasuhan dan latihan piskososial berkualiti,” ujarnya. -MalaysiaGazette