Rodzi Md. Saad

KUALA LUMPUR – Tiada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang baharu untuk hari ini diumumkan oleh Majlis Keselamatan Negara.

Ia merupakan hari keenam berturut -turut tiada kawasan yang dikuatkuasakan PKPD.

Ketua Pengarah MKN, Datuk Rodzi Md Saad berkata, untuk hari ini juga tiada sebarang PKPD dilanjutkan.

Bagaimanapun terdapat penamatan PKPD diumumkan MKN di beberapa lokaliti di Pahang dan Sabah.

Di Pahang, Kampung Orang Asli Ulu Pareh di Bentong akan ditamatkan PKPD esok, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Satu lagi lokaliti yang turut ditamatkan PKPD di negeri berkenaan adalah Kampung Orang Asli Sungai Kelang di Mukim Batu Talam, Raub.

PKPD dilaksanakan di kedua-dua lokaliti kampung itu sejak 20 September lalu.

Manakala di Sabah Kampung Mokodou Ranau juga ditamatkan PKPD mulai esok selepas dikuatkuasakan di kampung berkenaan sejak 4 Oktober lalu.-MalaysiaGazette