Datuk Zainal Abidin Yang Razalli

Hampir 10,000 keluarga di seluruh negara telah menerima manfaat berjumlah RM1.01 juta daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) iaitu Prihatin Peladang tahun ini.

Ahli Jemaah Pengarah NAFAS, Datuk Zainal Abidin Yang Razalli berkata, sumbangan itu merupakan sebahagian daripada agihan wakalah zakat perniagaan NAFAS kepada golongan asnaf yang terdiri daripada ahli peladang dan masyarakat setempat.

“Kita mengharapkan ia (sumbangan) dapat memberikan bantuan kepada golongan asnaf sebagai salah satu cabang agama (Islam) kita.

“NAFAS sentiasa prihatin dan mengambil berat meringankan beban keperluan keluarga berpendapatan rendah yang berkeperluan lebih-lebih lagi dalam situasi negara yang masih menghadapi pandemik Covid-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Zainal Abidin, inisiatif Prihatin Peladang NAFAS itu juga selari dengan komitmen kementerian untuk memastikan kebajikan golongan yang memerlukan, khususnya dalam kalangan ahli keluarga petani, penternak dan nelayan sentiasa diberi keutamaan.

Ujarnya, beliau yakin dan percaya, Pertubuhan Peladang di semua peringkat akan meneruskan fungsi utamanya dalam memberi perkhidmatan yang berkualiti dan dinamik serta akan terus berusaha terlibat secara aktif dalam keseluruhan rantaian nilai industri padi negara, meneroka aktiviti nilai tambah dan hiliran, khususnya dengan teknologi moden dan digital agar produktiviti dimaksimumkan serta pendapatan dapat ditingkatkan.

Terdahulu, hari ini Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee merasmikan Majlis Prihatin Peladang di Beluran, Sabah.

Ronald menzahirkan penghargaan kepada NAFAS atas keprihatinan yang berterusan kepada ahli-ahli peladang serta penduduk setempat, terutamanya ketika menghadapi pandemik Covid-19. – MalaysiaGazette