Gambar hiasan

JEMPOL – Seorang lelaki warga Myanmar maut selepas dipercayai ditikam ketika mabuk dalam kejadian di sebuah kilang di sini, pada awal pagi tadi.

Menurut sumber, mangsa yang dikenali sebagai Moe Naing, 36, maut di lokasi selepas mengalami kecederaan parah akibat ditikam di beberapa bahagian anggota badan termasuk dada.

“Kejadian itu berlaku kira-kira 1 pagi dan ia disedari oleh pengurus kilang, sebelum melaporkannya kepada pihak polis dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Jempol untuk tindakan lanjut,” katanya di sini.

Sementara itu, Ketua Polis daerah Jempol, Supt Hoo Chang Hook ketika dihubungi Bernama mengesahkan laporan kejadian berkenaan.

Jelasnya, hasil pemeriksaan di lokasi mendapati lima pekerja asing yang bekerja di kilang tersebut turut menghilangkan diri dan usaha untuk mengesan suspek sedang dipergiatkan.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – Bernama