Pasukan penyelamat membantu mengeluarkan mangsa yang trsepit dalam kemalangan berhanpiran Plaza Tol Bukit Jelutong dari arah Sungai Buloh menghala ke Shah Alam, petang tadi. Foto: Ihsan PDRM

KUALA LUMPUR – Seorang pemuda maut selepas kereta yang dipandu terbabas melanggar penghadang jalan dalam kejadian berhampiran Plaza Tol Bukit Jelutong dari arah Sungai Buloh menghala ke Shah Alam, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Baharudin Mat Taib berkata, mangsa berusia 22 tahun tersepit di dalam kereta Honda Civic yang dipandu dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Manakala, seorang lagi mangsa di dalam kenderaan itu yang berusia 20 tahun mengalami kecederaan dan telah dihantar ke Hospital Shah Alam untuk mendapatkan rawatan.

“Kedua-dua mangsa dari rumah rakan mereka di Kamoung Melayu Subang dan ingin balik ke rumah.

“Bagaimanapun, kenderaan yang dipandu hilang kawalan setibanya di lokasi kejadian dan melanggar pengahadang jalan dan berpusing menghadap arah bertentangan,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sehubungan itu katanya, beliau menggesa saksi kejadian untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, Inspektor Muhammad Hanif Sukri di talian 014-8066744. – MalaysiaGazette