KUALA LUMPUR – Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) mengumumkan pelantikan Datuk Ahmad Nazlan Idris sebagai pengerusi baharu berkuatkuasa 15 Oktober 2021.

Ahmad Nazlan menggantikan Tan Sri Noh Omar yang telah meletakkan jawatan pada 1 September 2021 selepas dilantik sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

PUNB berkata, Ahmad Nazlan pernah memegang jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Getah Malaysia (LGM) pada 2020 hingga 2021.

Beliau juga sebelum ini telah dilantik sebagai Pengerusi Kolej Poly Tech MARA pada 2015 hingga 2018 selain pernah menjadi Ahli Majlis Penasihat Felda dan Ahli Lembaga Pengarah di Lembaga Global Ventures Sugar Sdn Bhd serta Lembaga Pertubuhan Peladang.

Ketua Pegawai Eksekutif PUNB, Izwan Zainuddin berkata, Ahli Lembaga Pengarah, Pengurusan dan warga kerja PUNB merakamkan ucapan tahniah atas pelantikan Ahmad Nazlan dan mengalu-alukan kehadiran beliau di PUNB.

“Dengan pengetahuan dan pengalaman luas Ahmad Nazlan diharap dapat membantu memacu kecemerlangan, sekali gus memantapkan kedudukan PUNB sebagai pusat pembangunan keusahawanan Bumiputera terulung di negara ini,” katanya. – MalaysiaGazette