ADUN Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron (dua kiri) bersama ADUN Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee (kanan) di Hotel Muzzafar, Melaka. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 18 OKTOBER 2021.

MELAKA – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron menjelaskan beliau tidak boleh terlalu memilih parti mana yang akan disertainya kelak.

Jelasnya, beliau menyerahkan perkara itu kepada kepimpinan Pakatan Harapan (PH) untuk mementukan kedudukannya dalam gabungan tersebut.

“Kita tidak boleh memilih, maksud saya tadi biarlah PH yang memikirkan nasib kami sebab dalam konteks 15 orang (ADUN PH tambah 4) ini sudah ada satu gabungan yang membentuk majoriti pada hari ini yang merupakan satu semangat yang kami dokong.

“Saya cuma menaruh harapan kepada Pakatan Harapan,” katanya kepada media selepas menghadiri perjumpaan bersama Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebentar tadi.

Dalam ucapannya di hadapan Anwar, bekas Ketua Menteri Melaka itu nyata menyerahkan nasib beliau dan tiga lagi ADUN iaitu ADUN Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan, ADUN Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee dan ADUN Telok Mas, Datuk Noor Effandi Ahmad kepada PH.

Pada sidang media sama, Pengerusi PH Melaka Adly Zahari berkata, segala keputusan mengenai empat ADUN yang kini menyokong PH diserahkan kepada kepimpinan tertinggi gabungan itu.

“Belum ada sebarang perbincangan sebab kita dalam PH biasanya kita akan muktamadkan dalam Majlis Presiden PH di peringkat nasional,” jawab Adly.

Ditanya parti mana dalam PH yang akan disertai Idris, katanya, beliau masih belum membuat sebarang keputusan.

“Saya yakin memerlukan lebih masa untuk memikirkan,” katanya ringkas.

Dalam pada itu, Idris berkata, beliau merasakan kehadirannya dalam PH diterima ahli-ahli gabungan tersebut.

Ujarnya, tiada kutukan dan cemuhan diterima apabila beliau menaiki pentas yang disediakan PH, malam ini.

“Kejanggalan lebih kepada mereka yang berada dalam dewan bagaimana mereka menerima saya. Jadi bila saya bangun dan mendapat sokongan sebegitu saya rasa sudah mula berada dalam keluarga besar PH.

“Tidak ada sebarang cemuhan dan boo. Tuduhan pengkhianat tidak ada di sebelah sini. Nampaknya saya mula berada dalam satu keluarga PH, tidak rasa cemuhan-cemuhan,” katanya. – MalaysiaGazette