Mohammad Hashim Dilbashar

KUALA LUMPUR – Polis giat memburu seorang lelaki Myanmar berketurunan Rohingya, Mohammad Hashim Dilbashar atau lebih dikenali sebagai Hashim bagi membantu siasatan berhubung kes kematian seorang pemungut sampah di Klang pada 10 Oktober lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, lelaki berusia 30-an itu memiliki alamat terakhir di No 3, Lot 49659-A, Jalan Budaya, Kampung Rantau Panjang, Klang.

“Polis memohon kepada sesiapa yang mempunyai maklumat berkaitan dengan lelaki itu supaya segera menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara di talian 03-32913344 atau pegawai penyiasat ASP J Jaya Sangar di talian 013-4013403,” kata beliau menerusi satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, siasatan awal mendapati Hashim adalah antara dua suspek warga Rohingya yang dipercayai terlibat dalam kes kematian itu.

Ujarnya, pada 10 Oktober lalu, polis IPD Klang Utara telah menerima laporan pada jam 10.11 pagi daripada seorang pegawai perubatan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang tentang seorang lelaki Rohingya berada dalam keadaan tidak sedarkan diri dibawa oleh rakannya ke Jabatan Kecemasan hospital berkenaan.

Tambah beliau, hasil pemeriksaan lanjut pegawai perubatan mengesahkan lelaki itu sudah meninggal dunia dan menemui sembilan kesan tikaman di bahagian kepala, tubuh dan kaki.

“Hasil bedah siasat turut mendedahkan kematiannya disebabkan pendarahan yang banyak akibat daripada tikaman pada bahagian belakang badan mangsa.

“Hasil siasatan pihaknya juga mendapati dua lelaki etnik Rohingya berkenaan terlibat dalam insiden itu dengan seorang daripadanya berjaya ditahan pasukan khas Bahagian Siasatan Jenayah IPD Klang Utara di Jalan Pengkalan Kubor, Kelantan, manakala seorang lagi yang masih bebas sedang diburu.

“Mereka dipercayai cuba meloloskan diri ke Thailand melalui sempadan Golok dan suspek yang ditahan dibawa balik ke IPD Klang Utara untuk siasatan lanjut,” ujarnya.

Menurut Vijaya, suspek direman selama enam hari bermula 16 Oktober lalu dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – MalaysiaGazette