Logo Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM).

KUALA LUMPUR – Yayasan Dakwah Islamiah (YADIM) membantah penjualan arak dengan jenama Timah yang didakwanya ada elemen provokatif.

“Malah YADIM juga berpandangan, penggunaan jenama arak dengan perkataan berbahasa Melayu seperti Timah itu sendiri merupakan satu strategi penjenamaan yang bersifat provokatif terhadap masyarakat majoriti Melayu Muslim di Malaysia
meskipun telah dijelaskan oleh syarikat pengeluar bahawa perkataan Timah yang digunakan tidak merujuk kepada nama wanita sebaliknya merujuk kepada terjemahan Bahasa Melayu kepada perkataan Tin,” katanya.

YADIM juga menganggap tindakan syarikat berkenaan yang melancarkan jenama arak itu secara rasmi pada 7 Oktober lalu semasa umat Islam berada dalam mood menyambut peristiwa kelahiran Nabi SAW juga satu tindakan provokatif.

“Meskipun ada sebahagian agama membenarkan arak namun ia tidak sewajarnya dipromosi secara terbuka dan meluas kepada seluruh masyarakat yang majoritinya adalah dari kalangan muslim.

“Mereka boleh sahaja menghasil dan mengedar arak secara terhad kepada golongan yang dibenarkan meminum arak dengan pilihan jenama yang banyak tanpa menyentuh sensitiviti umat Islam,” ujarnya.

YADIM juga kesal kerana biar pun arak berjenama itu  didaftarkan cap dagangan sejak 2019 dan menerima anugerah antarabangsa sejak tahun 2020 lagi, polemik yang timbul seolah mengulangi kembali kontroversi terhadap penggunaan jenama yang biasa dengan masyarakat Melayu Muslim seperti produk makanan yang berasaskan babi seperti Burger P Ramly (Pork) dan Restoran Naughty Nuri yang hangat sekitar tahun 2016.

“Tindakan-tindakan ini amat tidak sensitif terhadap sentimen masyarakat muslim di Malaysia dan memberikan imej yang buruk kepada pihak kerajaan.

“Tindakan yang berterusan memprovokasi sentimen Umat Islam harus segera dihentikan kerana ini pastinya menggugat keharmonian umat Islam yang menjadi teras kestabilan negara ini,” kata kenyataan yang sama.

Dalam hal itu, YADIM bersetuju dengan tindakan yang diambil oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad yang telah melaporkan kepada kementerian-kementerian yang mempunyai bidang kuasa terhadap penjualan arak di Malaysia untuk mengambil tindakan sewajarnya.- MalaysiaGazette