Sebanyak 160 rumah di beberapa kampung dalam daerah Yan terjejas akibat banjir kilat berikutan hujan lebat.

ALOR SETAR – Sebanyak 160 rumah di beberapa kampung dalam daerah Yan terjejas akibat banjir kilat yang berlaku berikutan hujan lebat yang turun sejak petang semalam.

Ketua Bahagian Operasi Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah Kapten (PA) Saifuddin Abdullah berkata 100 rumah terjejas dalam bencana itu di Mukim Singkir manakala rumah selebihnya adalah di Mukim Yan.

“Kampung yang terjejas di bawah Mukim Yan ini ialah Kampung Perigi, Kampung Raga, Kampung Titi Bakong, Kampung Lubok Boi, Kampung Pulau Chengai dan Pekan Yan manakala Mukim Singkir pula melibatkan Pekan Singkir Darat, Singkir Kedai Keling dan Singkir Genting.

 “Ketika ini Pekan Yan masih ditenggelami air dan tidak dapat dilalui kenderaan kecil. Air mulai surut di Kampung Raga dan buat masa ini keadaan masih lagi terkawal,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Bagaimanapun, Saifuddin berkata buat masa ini tiada Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang dibuka di daerah itu.

Sementara itu, beliau berkata di Kuala Muda, tujuh kampung dari empat mukim di daerah itu turut mengalami banjir kilat berikutan hujan lebat yang turun lebih tiga jam namun tiada PPS yang dibuka setakat ini.

“Kampung yang terjejas ialah Kampung Kilang Macau di Mukim Pinang Tunggal, Kampung Jerung di Mukim Sidam Kiri, Kampung Kepala Bukit dan Kampung Masjid di Mukim Pekula, serta Kampung Bakar Kapur, Kampung Gelugur dan Kampung Bukit di Mukim Sungai Petani.

“Paras air ketika ini adalah 0.3 hingga 0.5 meter. Jumlah mangsa dan rumah yang terlibat masih belum diperoleh buat masa ini,” katanya.

— BERNAMA