Isham Jalil

KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak seharusnya meletakkan apa-apa syarat atau tuntutan jika benar-benar ikhlas ingin bekerjasama bersama Barisan Nasional (BN) menumbangkan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Ketua Penerangan BN Selangor, Isham Jalil berkata, parti yang kecil dan tiada akar umbi seperti Bersatu sepatutnya tidak memberi pelbagai syarat dan tuntutan kerusi.

“Jika mereka kata ingin bekerjasama tetapi ia datang dengan pelbagai syarat dan tuntutan itu dan ini serta paksa kita beri kerusi kepada mereka walaupun Bersatu tidak ada sokongan dan akar umbi, ia bukanlah kerjasama yang seimbang mahu pun bijak.

“Kalau kita beri laluan kerusi kepada mereka (Bersatu), maka besar kemungkinan akan berlaku perpecahan undi atau undi protes dalam kalangan pengundi dan penyokong kita di akar umbi dan ini boleh menyebabkan PH yang akan menang pilihan raya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Isham berkata demikian sebagai respons terhadap kenyataan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang bersedia untuk bersaing tiga penjuru melawan BN dan PH di Melaka.

“Sebab itu kita tidak boleh tunduk kepada tuntutan mahu pun ugutan-ugutan mereka ini. Jika kita terpaksa lawan mereka tiga penjuru, kita lawan. Ini lebih baik daripada serah kerusi dan belum apa-apa kalah sebelum melawan,” jelasnya.

Beliau berkata, dengan cara itu BN dapat mengelak undi protes dalam kalangan penyokong sendiri dan meningkatkan kebarangkalian untuk menang dan tewaskan PH.

“Beliau (Muhyiddin) kata ummah ke, perpaduan ummah ke, itu perkara memang biasa kita alu-alukan tetapi dalam pertimbangan politik dia tidak ada sebut perpaduan ummah pun, dia tengok perpaduan dan kepentingan parti masing-masing.

“Kenyataan ini saya lihat menggambarkan mereka (Bersatu) seolah-olah tidak kisah jika mereka menjadi penyebab undi Melayu pecah dan akibatnya PH menang, asalkan mereka dapat kerusi untuk bertanding,” katanya.

PRN Melaka akan diadakan pada 20 November depan selepas empat ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menterinya Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Susulan tersebut, pembubaran DUN dilakukan dan Melaka ditadbir oleh kerajaan sementara dan PRN Melaka melibatkan pertandingan sebanyak 28 kerusi DUN.- MalaysiaGazette