Datuk Norhizam Hassan Baktee. Foto SYAFIQ AMBAK, 07 OKTOBER 2021.

KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) membuat keputusan tidak mencalonkan Datuk Norhizam Hassan Baktee pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Perkara itu diputuskan Majlis Presiden PH yang bermesyuarat hari ini.

Norhizam salah seorang daripada empat bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang berpaling tadah sehingga membawa kepada pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka baru-baru ini.

Selain Norhizam, kedudukan tiga lagi bekas ADUN yang terlibat tidak dibincangkan dalam mesyuarat.

“Dalam isu empat bekas ADUN, PH telah menerima pandangan semua pihak yang tegas tentang perkara ini.

“Perlu ditekankan kepentingan rakyat adalah lebih penting daripada mana-mana individu. Oleh kerana mereka bukan ahli mana-mana parti komponen PH, maka soal pencalonan mereka dalam PRN tidak berbangkit di dalam mesyuarat hari ini,” kata kenyataan Majlis Presiden PH hari ini.

Kenyataan itu ditandatangani bersama oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Amanah, Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng  dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

Selain Norhizam, tiga ADUN yang menarik sokongan terhadap Ketua Menteri baru-baru ini adalah,  Datuk Seri Idris Haron,  Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), dan Datuk Noor Effandi Ahmad (BERSATU-Telok Mas).

Dalam masa yang sama, Majlis Presiden PH bersetuju melantik Adly Zahari mengetuai jentera pilihan raya PH menghadapi PRN Melaka.

Adly merupakan bekas Ketua Menteri Melaka pada masa pemerintahan PH.

Selain itu, PH juga memutuskan untuk menghantar wakil untuk bertemu serta berbincang dengan Suruhanjaya Pilihan Raya berhubung prosedur operasi standard (SOP) bagi PRN Melaka.

“Ini bagi menyampaikan pandangan PH serta memastikan prinsip demokrasi dijunjung, hak parti-parti politik bertemu pengundi tidak terjejas, dan perjalanan pilihan raya adalah adil kepada semua pihak terutama pada ketika Melaka berada di dalam Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara,” tambah kenyataan yang sama.- MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.