Sebanyak 97.2 peratus atau 22,746,838 individu bagi populasi dewasa di negara ini telah lengkap menerima suntikan vaksin COVID-19, setakat 11.59 malam tadi.- Gambar hiasan.

KUANTAN – Lebih daripada 1,000 warga Kuantan mengambil kesempatan untuk mendapatkan vaksin secara walk-in yang diadakan di ruang legar bangunan Majlis Bandaraya Kuantan hari ini.

Datuk Bandar Kuantan, Datuk Hamdan Hussin berkata, program secara ‘walk-in’ mendapat sambutan luar jangka memandangkan pihaknya hanya mensasarkan seramai 300 penerima vaksin.

Tambahnya, program vaksinasi secara walk-in kepada warga Kuantan yang masih belum disuntik menawarkan tiga jenis vaksin iaitu Pfizer, Sinovac, dan CanSino.

Datuk Bandar Kuantan, Datuk Hamdan Hussin

“Antara golongan sasaran penerima vaksin ialah mereka yang berusia 12 tahun hingga 18, warga emas dan pekerja asing.

“Penerima datang pada 9 pagi hingga petang ini, walau bagaimanapun perbincangan awal dengan Pejabat Kesihatan Daerah Kuantan merancang mengadakan lagi jika ada sambutan,” ujar Hamdan ketika ditemui media.

Hamdan berpuas hati dengan sambutan orang ramai setelah promosi yang dibuat dikongsi dalam kumpulan aplikasi Whatsaap dan platformn media sosial, sekali gus memberi impak kesedaran masyarakat.

Katanya, bertepatan dengan perlakasanaan Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) di negeri ini serta kebenaran rentas negeri yang diumumkan oleh perdana menteri, menjadikan masyarakat semakin meningkat kesedaran akan kepentingan vaksin.

Jelas Hamdan, inisiatif ini dilaksanakan berikutan tempoh vaksin sudah berlarutan, tetapi masih ramai penduduk di daerah ini yang masih belum mengambil vaksin.

“Mungkin ada yang terlepas dan tidak berpeluang mendapatkan vaksin, jadi inisiatif ini diambil bagi memudahkan masyarakat mendapatkan vaksin.

“Bekalan vaksin tiada masalah dan ditambah oleh pihak KKM mengikut keperluan bergantung kepada kehadiran mereka hari ini,” katanya.

Program vaksin secara walk-in ini adalah kedua anjuran Majlis Bandaraya Kuantan selepas  diadakan di Surau Al- Hidayah Komuniti Wong Ah Jang minggu lalu. – MalaysiaGazette