Mahkamah Taiping.

TAIPING – Dua beradik dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas enam pertuduhan menipu seorang lelaki dalam urusan mendapatkan tanah seluas 30 ekar untuk penanaman durian di Kuala Kangsar, Perak.

Tertuduh, Tan Huang Hoe, 44, serta adiknya, Tan Huang Hong, 41, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan yang dibacakan dihadapkan Majistret Nurfarah Syahidah Mohd Noh Hakim.

Mengikut pertuduhan pertama, dua beradik itu didakwa menipu Ng Chin Teck, 42, dalam urusan mendapatkan tanah seluas 30 ekar daripada 300 ekar tanah yang dipohon di sekitar kawasan Kuala Kangsar dengan itu telah mendorong beliau menyerahkan wang sejumlah RM100,000 pada jam 3 petang bertempat di Double Tap Restoran pada 6 April 2017.

Bagi pertuduhan kedua, mereka telah menipu pengadu atas alasan yang sama sehingga medorong pengadu menyerahkan RM100,00 di Triple Shot Restoran pada 14 Jun 2017.

Bagi pertuduhan ketiga hingga keenam kedua-dua tertuduh telah mendorong pengadu menyerahkan RM106,000 di tiga lokasi berbeza sekitar Perak bermula September 2017 hingga Januari 2018.

Kedua-dua beradik berkenaan didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di bawah Seksyen 417 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Nurfarah Syahidah kemudian menetapkan jaminan RM14,000 secara keseluruhan kepada dua beradik itu atas enam pertuduhan terbabit.

Beliau turut menetapkan syarat tambahan dengan mengarahkan kedua-dua tertuduh menyerahkan pasport mereka sehingga selesai kes.

Mahkamah kemudian menetapkan 11 Januari 2022 sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pegawai penyiasat kes, Inspektor T. Selvakumar dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah Taiping manakala kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Aqilah Syaza Ariffin. – MalaysiaGazette