Sebuah pusat hiburan kelab malam diserbu di Kuala Lumpur. Foto: Ihsan JPJKK KL.

KUALA LUMPUR – Seramai 56 pengunjung yang leka berparti di sebuah kelab malam di sini dikenakan dikompaun sberjumlah RM320,000 pada malam tadi kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP).

Selain itu, pemilik premis berkenaan turut dikompaun sebanyak RM25,000.

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Kuala Lumpur Senior Asisten Komisioner, Datuk Azman Ayob berkata, seramai 21 pegawai dan anggota JPJKK Kuala Lumpur terlibat dalam serbuan ke atas kelab malam itu.

“Hasil pemeriksaan mendapati premis tersebut telah melanggar Peraturan 17 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit PPN 4 2021 (Melakukan aktiviti terlarang dalam pub dan kelab malam) semasa tempoh Pelan Pemulihan Negara Fasa 4.

Sebuah pusat hiburan kelab malam di tengah pusat bandaraya telah diserbu polis dalam Ops Khas pematuhan SOP tengah malam tadi sebelum pemilik premis dan 56 pengunjung telah dikompaun berjumlah RM345,000 atas perlanggaran SOP PPN 4 2021 dan Akta 342 yang ditetapkan kerajaan. Gambar Ihsan: JPJKK KL.

“Pemeriksaan lanjut terdapat 56 pengunjung dalam premis itu sedang berhibur dengan minuman keras sehingga melakukan kesalahan perlanggaran SOP yang masih berkuatkuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, pasukannya telah mengeluarkan kompaun bernilai RM25,000 kepada pemilik premis kerana melakukan kesalahan mengikut PPN dan Akta 342 dengan gagal memastikan pematuhan SOP oleh pelanggannya sepanjang berada di dalam premisnya.

“Sementara, kompaun berjumlah RM320,000 telah dikeluarkan pasukan pemeriksa pematuhan SOP kepada seramai 56 orang pengunjung yang terdiri daripada 36 lelaki dan 20 wanita yang berada di premis pusat hiburan tersebut atas kesalahan gagal mematuhi SOP di dalam premis.

“Dalam serbuan sama juga, seramai 23 orang pengunjung telah dilibatkan dalam ujian saringan air kencing dan hasil keputusan kesemuanya adalah negatif sebarang jenis dadah,’ ujarnya.

Menurut Azman, operasi seperti itu akan dipertingkat dari semasa ke semasa dalam dalam usaha kerajaan menghentikan penularan jangkitan Covid-19 di negara ini. – MalaysiaGazette