Gambar hiasan

KUANTAN – Seorang warga Indonesia maut ditikam setelah bergaduh dengan rakan senegara di sebuah kilang papan di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, pihaknya menerima laporan pada pukul 6 petang berhubung kejadian tersebut.

Difahamkan mangsa yang berusia 21 tahun mati di tempat kejadian akibat luka tikaman pada dada kiri dan siku kanan.

“Siasatan awal mendapati motif dipercayai akibat pergaduhan disebabkan suspek berada di bawah pengaruh dadah dan halusinasi merupakan rakan senegara.

“Siasatan yang dijalankan mendapati kejadian berlaku di rumah kongsi pekerja kilang di mana si mati dikatakan telah bergaduh dengan suspek dan telah ditikam dengan pisau di bahagian dada dan mati di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette.

Tambah Wan Mohd Zahari, pihaknya telah melakukan tangkapan ke atas suspek dan sebilah pisau disyaki digunakan dalam kejadian tersebut ditemui bangunan Majlis Bandaraya Kuantan hasil maklumat yang diberikakan suspek.

“Selain itu, sehelai baju T shirt hitam jenama AX, sehelai seluar pendek jenama Paris St. German, dan sepasang kasut hitam tanpa jenama turut dirampas,” ujarnya.

Menurut Wan Mohd Zahari, mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk bedah siasat.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette