Satu bongkah batu jatuh dari atas bukit menyebabkan sebuah kereta rosak dalam kejadian di Jalan Tun Sardon, Balik Pulau di sini hari ini.

GEORGE TOWN – Seorang pengguna jalan raya nyaris maut selepas satu bongkah batu tergolek dari atas bukit sebelum menimpa kenderaannya dalam kejadian di Jalan Tun Sardon, Balik Pulau menghala Paya Terubong di sini, hari ini.

Kejadian jam 1.30 petang itu menyebabkan bahagian kiri kereta jenis Hyundai Sonata yang dipandu lelaki berusia 47 tahun itu mengalami kerosakan termasuk cermin bahagian penumpang hadapan dan belakang pecah.

Keadaan kereta mangsa akibat ditimpa batu sebesar tiga pemeluk.

Difahamkan, batu bukit sebesar tiga pemeluk itu menutup sebahagian jalan raya berkenaan.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 1.36 petang sebelum sepasukan polis dikerahkan ke lokasi kejadian.

Soffian Santong.

“10 minit kemudian sepasukan polis dari Balai Ayer Itam tiba di lokasi sebelum mendapati satu bongkah batu besar telah jatuh melintang sekali gus menghalang laluan pengguna jalan raya lain.

“Tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu dan hanya sebuah kereta mengalami kerosakkan pada bahagian kiri akibat ditimpa batu tersebut,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Kejadian itu turut menyebabkan laluan menghala ke Balik Pulau terhalang.

Tambah Soffian, pihak Jabatan Kerja Raya Daerah Barat Daya telah melakukan pembersihan termasuk mengalihkan bongkah batu tersebut. – MalaysiaGazette