bendera Pas
Gambar Hiasan. foto FAREEZ FADZIL, 28 APRIL 2017

KOTA BHARU – Dewan Pemuda Pas (DPP) Kelantan hari ini mengumumkan barisan kepimpinan dan ahli jawatankuasanya yang baharu bagi sesi 2021 hingga 2023.

Ia diumumkan pada Muktamar Tahunan DPP Kelantan ke-62 yang berlangsung di sebuah hotel di sini, dengan turut melaksanakan pengundian melibatkan 132 kertas undi bagi pemilihan barisan kepimpinan baharu itu.

Antara yang membarisi pimpinan DPP Kelantan sesi 2021 hingga 2023 ialah Mohd Kamal Mohamad apabila berjaya memperoleh majoriti iaitu 86 undi, untuk menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Pemuda Pas Kelantan sekali gus menggantikan penyandang jawatan itu Mohd Ariff Abdullah.

Selain itu, Timbalan Ketua Pemuda Pas Kelantan dimenangi Mohd Abdul Malik Abdul Karim manakala Naib Ketua Pemuda Pas Kelantan pula digalas oleh Mohd Firdaus Mohd Nawi, dengan kedua-dua mereka menang tanpa bertanding.

Terdahulu, Mohd Ariff semasa menyampaikan ucapan perasmianĀ berharap agar barisan pimpinan baharu ini memberi tumpuan mengatur strategi bagi memenangi hati anak muda terutama berusia 18 hingga 21 tahun yang akan menjadi pengundi baharu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Beliau berkata, perkara ini amat penting bagi memastikan kemenangan Pas di Kelantan berikutan dianggarkan lebih 342,000 individu terdiri daripada kumpulan usia berkenaan yang akan menjadi pemilih berdaftar di negeri itu pada PRU15.

Mohd Ariff berpandangan walaupun golongan itu masih ‘segar’ dalam dunia politik tetapi mungkin ‘kematangan’ mereka untuk memilih pemimpin tidak sama seperti generasi sebelumnya.

“Tidak kira siapa pun yang menggantikan kabinet baharu DPP Kelantan ini. Kita perlu mengatur gerak langkah bagaimana nak pikatĀ pengundi muda ini kerana saya yakin mereka (pengundi 18 tahun) tidak memilih berdasarkan parti.

“Kalau dahulu mak dan ayah mereka (sokong) PAS, maka anak pun Pas tetapi trend terkini terutama generasi 18 hingga 21 tahun ini, mereka mungkin memilih berdasarkan isu semasa dan melihat parti mana yang boleh bersama-sama dengan rakyat,” katanya.

Beliau berkata selain itu, barisan DPP Kelantan harus menguasai media sosial dalam memenangi jiwa anak muda dengan memberikan penerangan, tazkirah atau apa sahaja kebaikan yang boleh ditawarkan kepada golongan itu berlandaskan konsep membangun bersama Islam.

“Kita nak orang muda yang bersama dengan Pas kerana mereka faham pendirian serta yakin kebolehan Pas dan kita gunakan ruang media yang ada ini untuk memenangi jiwa orang muda,” katanya yang memegang jawatan Ketua Pemuda Pas Kelantan sejak 2019. – Bernama