Bantuan Kehilangan Pendapatan BKP RM500 Ismail Sabri Yaakob
Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Idea Keluarga Malaysia yang digarapkan Perdana Menteri bukan satu konsep yang retorik dan slogan semata-mata.

Datuk Seri Ismail Sabri menjelaskan, idea itu diilhamkan kerajaan sebagai satu konsep untuk mengetengahkan inspirasi sebuah keluarga.

“Ia merupakan semangat yang diterapkan kerajaan dalam pentadbiran negara, di mana kepentingan dan kesejahteraan rakyat dipelihara seperti menjaga sebuah keluarga,” katanya selepas melancarkan Keluarga Malaysia secara langsung dari Borneo Convention Centre Kuching (BCKK), Sarawak.

Ismail berkata, sebagai contoh, sebuah keluarga akan menumpukan kepada ahli keluarganya walau apapun yang berlaku.

“Jika ada ahli keluarga yang kurang bernasib baik dalam kehidupan, pasti kita akan menghulurkan pertolongan dan tidak membiarkan mereka bersendirian.

“Begitu juga dalam pentabiran kerajaan pada hari ini. Keluarga Malaysia seperti golongan B40 dan M40 yang terkesan akibat pandemik, akan terus diberi fokus dan keutamaan dalam mendapat manfaat bantuan-bantuan kerajaan,” ujar Ahli Parlimen Bera itu lagi.

Menggarap kepada idea itu, Ismail berkata, pembangunan sosioekonomi negara di negeri kurang membangun akan terus diberi keutamaan.

Sarawak sebagai contoh adalah antara enam negeri selain Sabah, Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis yang akan diberi tumpuan khusus bagi merapatkan jurang pembangunan ekonomi antara negeri, wilayah, bandar serta luar bandar, agar kemakmuran ekonomi dinikmati secara adil dan saksama.

Kearah itu, Ismail berkata, kerajaan telah menetapkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keseluruhan peruntukan pembangunan asas persekutuan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) akan diagihkan kepada enam negeri berkenaan.

“Ia membabitkan penyediaan infrastruktur asas, pendigitalan, pendidikan, perkhidmatan penjagaan kesihatan dan pembangunan ekonomi.

“Pendekatan sama juga akan menjadi intipati Bajet 2022 yang akan dibentangkan pada minggu hadapan.

“Dalam merealisasikan matlamat Keluarga Malaysia yang menekankan nilai keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran, kerajaan akan memantau secara dekat pelaksanaan program dan inisiatif yang dirancang, khususnya Sabah dan Sarawak, dalam usaha memastikan kita sama-sama membangun sebagai sebuah Keluarga Malaysia,” jelas beliau.

Mengulas lanjut, Keluarga Malaysia akan berteraskan kepada tiga teras utama iaitu keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran.

Teras ini jelasnya, akan menjunjung nilai-nilai Keluarga Malaysia berpaksikan keluhuran Perlembagaan Persekutuan seperti yang termaktub dalam Rukun Negara. – MalaysiaGazette