Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya Perikatan Nasional, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali beramah mesra selepas sarapan pagi bersama penduduk setempat ketika di Kedai Sayang, Pekan Lubuk China, Masjid Tanah, Melaka. Foto MOHD ADZLAN, 24 OKTOBER 2021.

MASJID TANAH – Buat masa ini Perikatan Nasional (PN) masih belum memuktamadkan pengagihan kerusi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dalam kalangan parti-parti gabungan.

Menurut Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, senarai kerusi yang akan ditandingi oleh ketiga-tiga parti dalam PN akan diumumkan kelak.

“Itu kita akan umumkan (pembahagian kerusi PRN Melaka). Yang penting ada persefahaman yang baik mengikut kemampuan parti dan kebolehmenangan di sesebuah kawasan berdasarkan faktor calon, parti, jentera.

“Ini memang proses biasa daam semua rundingan dalam PRN sebelum ini,” katanya ketika ditemui media selepa berucap di di hadapan jentera PRN PN di Masjid Tanah hari ini.

Hadir sama adalah Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Bagaimanapun, Mohamed Azmin menjelaskan, beberapa siri perbincangan kerusi PRN Melaka telah diadakan ketiga-tiga parti itu sebelum ini.

“Pas, Gerakan dan Bersatu telah pun mengadakan beberapa siri perbincangan untuk memuktamadkan pengagihan kerusi dan juga calon-calon daripada parti yang berkenaan kerana kita perlu berdepan dengan rakyat di Melaka dalam PRN ini. Maka itulah keputusan yang kita buat,” jelasnya.

Pada Jumaat lalu, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, gabungan itu akan bertanding di semua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam PRN Melaka pada 20 November ini.

Muhyiddin berkata, rundingan dalam kalangan parti PN termasuk Pas dan Gerakan akan diadakan segera untuk memastikan kemenangan gabungan itu dalam PRN nanti.

Ditanya sama ada PN sudah bersedia untuk menghadapi pertembungan tiga penjuru antara PN, UMNO-BN dan Pakatan Harapan (PH), Mohamed Azmin berkata, gabungan itu menyerahkan kepada pengundi-pengundi DUN Melaka untuk membuat keputusan.

“Kita serahkan kepada rakyat Melaka namun saya yakin dengan kematangan pengundi di Melaka ini mereka mahu perpaduan dan sebuah kerajaan yang stabil.

“Mereka mahu sebuah kerajaan yang prihatin kepada rakyat, mahukan kerajaan yang mempunyai dasar jelas untuk masa depan negara dan negeri.

“Kesemua kriteria ini ada dalam PN dan atas dasar itu saya yakin pengundi akan memberikan peluang kepada PN untuk tadbir sebuah lagi kerajaan negeri Melaka,” katanya lagi.

PRN Melaka sudah memungkin sekurang-kurangnya pertembungan tiga penjuru di 28 kerusi DUN Melaka apabila UMNO-BN, PN dan PH berkata akan meletakkan calon di kesemua kerusi itu. – MalaysiaGazette