The Special Dewan Rakyat Sitting at the Parliament in Kuala Lumpur. PIX COURTESY OF THE DEPARTMENT OF INFORMATION / 26 JULY 2021. motion of confidence motions no confidence Supply Bill 2022 Budget
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat hari ini sebulat suara bersetuju meluluskan ketetapan untuk mengungkaikan Ordinan – Ordinan Darurat.

Keputusan itu dibuat selaras dengan Fasal (3) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

Ini bermaksud,  pelaksanaan Ordinan Darurat terbatal secara rasmi.

Sebelum Dewan Rakyat membuat keputusan itu, ahli-ahli Parlimen daripada wakil-wakil parti pembangkang diberikan peluang untuk berbahas.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar ketika sesi penggulungan usul tersebut menafikan Proklamasi Darurat dilaksanakan untuk memastikan kelangsungan kedudukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini.

“Saya ingin memaklumkan tindakan memasyhurkan Proklamasi Darurat adalah tindakan terbaik yang telah diambil oleh kerajaan bagi memastikan perkara tersebut tidak menjadi lebih teruk. Ia juga bagi pandangan kerajaan, tindakan paling munasabah dan wajar bagi membantu rakyat yang terjejas teruk disebabkan pandemik Covid-19 yang melanda dunia termasuk negara,” katanya dalam Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu, Wan Junaidi mewakili kerajaan membentangkan usul membahas dan mengungkai tujuh Ordinan Darurat.

Antara yang dibentang untuk diungkaikan adalah Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021, Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2021; dan Ordinan Darurat (Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja) (Pindaan) 2021.

Turut dibentangkan juga pada hari ini, Ordinan berkaitan pengekangan berita palsu, tatacara perbelanjaan wang Kerajaan, serta pengurusan dan penggunaan Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN).- MalaysiaGazette