Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR – Hanya enam kluster baharu kes Covid-19  dikesan Kementerian Kesihatan (KKM) setakat 12 tengahari tadi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, setakat ini sebanyak 5,728 kluster dilaporkan di dalam negara.

Daripada jumlah itu, sebanyak 5,200 kluster telah ditamatkan sementara sebanyak 528 lagi masih aktif.

“Kesemua enam kluster itu telah dikesan di empat negeri iaitu dua di Johor, dua di Kedah dan masing-masing satu di Kelantan dan Selangor.

“Daripada enam kluster berkenaan tiga adalah kategori tempat kerja manakala masing-masing satu kluster komuniti, Institusi Pendidikan KPM dan Pendidikan Tinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Dr. Noor Hisham, tiga kluster tempat kerja berkenaan Sri Kota Pontian, Jalan Latar Puri dan Jalan Pak Mayong masing-masing dikesan di Daerah Pontian, Muar di Johor dan Pasir Puteh, Bachok dan daerah Kota Bharu di Kelantan.

Katanya, satu-satunya kluster komuniti Dah Damai telah dilaporkan di daerah Kubang Pasu, Kedah.

“Kluster Institusi Pendidikan KPM Dah Merbok pula dikesan membabitkan pelajar dan kakitangan sebuah insititusi pendidikan di Semeling, Merbok, daerah Kuala Muda, Kedah.

“Kluster Jalan Labohan dikenalpasti di Gombak dan Sepang di Selangor melibatkan hasil saringan bersasar membabitkan pelajar-pelajar sebuah institusi pendidikan di Jalan Labohan Dagang-Nilai, Bandar Baru Salak Tinggi Sepang.

“Daripada keenam-enam kluster berkenaan, Kluster Dah Merbok membabitkan 18 kes dan sebanyak 179 orang telah disaring bagi tujuan tersebut,” katanya.-MalaysiaGazette