Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee pada Majlis Pelancaran Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 di Menara Lembaga Pertubuhan Peladang, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 25 OKTOBER 2021.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) akan memantau pelaksanaan Dasar Agromakanan Negara 2.0 (DAN 2.0) agar terus menjadi penyumbang kepada pendapatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi tempoh 10 tahun akan datang.

Menterinya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, dasar tersebut memberi tumpuan kepada faktor ekonomi, sosial dan alam sekitar dengan mengambil masa yang lama dalam melihat pencapian dan kekurangan menerusi dasar sebelum ini.

Katanya, pelbagai tindakan termasuk libat urus menerusi penglibatan pihak swasta dan pihak berkepentingan dibuat sehingga wujudnya DAN 2.0.

“Saya yakin dengan pelaksanaan yang rapi dan efisien sesuai dengan objektif yang disasarkan dalam DAN 2.0 ini kehendak Perdana Menteri dan negara terhadap sektor agromakanan ini untuk jadi penyumbang kepada KDNK tercapai.

“Bagi kami di kementerian dasar ini merupakan sesuatu yang komprehensif dan lengkap serta akan membangunkan industri agromakanan untuk tempoh 10 tahun akan datang.

“Kalau ia dilakukan secara efisien dan dipantau serta diambil kira setiap yang dilakukan pasti matlamat pelaksanaannya akan tercapai,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0), di sini, hari ini.

Pelancaran majlis itu disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob secara maya.

Hadir sama pada majlis Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah; Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Haslina Abdul Hamid.

Terdahulu dalam ucapannya, Ronald berkata, sektor pertanian dan agromakanan negara telah melalui beberapa fasa peralihan sesuai dengan senario pembangunan negara dan global.

Dalam hal itu kata, pihaknya baru sahaja selesai menjalani tempoh pelaksanaan DAN 2.0 dan disebabkan itu penggubalan satu dasar agromakanan baharu untuk tempoh 10 tahun akan datang mesti digubal.

Jelasnya, penggubalan dasar baharu itu telah dibuat dengan teliti dan mengambil kira isu sekuriti makanan yang meliputi daya saing dan kemampanan berlandaskan matlamat utama Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, Agenda Pembangunan Mampan 2030 dan Rancangan Malaysia Lima Tahun.

Katanya, ini termasuk dapatan kajian perbandingan strategi dan amalan pertanian baik di negara-negara seperti Australia, Belanda, China, Thailand dan Vietnam yang menekankan elemen penyelidikan, pemodenan dan kebajikan petani.

“Di samping itu, proses penyediaan DAN 2.0 turut melibatkan beberapa siri sesi konsultansi awam sebagai asas penggubalan dasar ini bersama pihak berkepentingan termasuk kementerian serta agensi berkaitan, kerajaan negeri, Koridor Wilayah Ekonomi, para akademik, penggerak industri, persatuan dan organisasi bukan kerajaan (NGO) serta golongan sasar,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast