Suspek berjaya ditahan pihak berkuasa dalam Serbuan yang dilakukan semalam

PONTIAN – Satu sindiket memproses arak tumpas dengan tertangkap tiga lelaki warga asing Vietnam dan seorang lelaki warga Myanmar dalam serbuan yang dilakukan pihak berkuasa, semalam

Sindiket itu menggunakan sebuah pondok tidak bernombor di Kampung Sungai Burung, Pekan Nenas, di sini sebagai ‘kilang memproses arak tiruan sejak setahun lalu untuk mengelakkan daripada dikesan pihak berkuasa.

Pegawai Pemerintah Batalion 5, Pasukan Gerakan Am (BN. 5 PGA), Superintendan Dimin Awang berkata, dalam serbuan itu, pihaknya berjaya merampas beberapa peralatan memproses arak yang merangkumi 210 botol plastik 1.5 liter berisi cecair disyaki samsu, 14 gelen 20 liter berisi arak, set dapur periuk aluminium serta tong gas.

Barang rampasan yang berjaya dirampas.

“Hasil siasatan awal terhadap suspek dipercayai menjadikan pondok tersebut sebagai tempat memproses dan menjual samsu haram di sekitar kawasan Pontian. Anggaran keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM15,992. 

“Tangkapan dan rampasan dibawa ke IPD Pontian untuk tindakan lanjut,” katanya menerusi kenyataan media sambil menambah suspek yang ditahan berumur antara 19 hingga 44 tahun.

Hasil siasatan turut mendapati suspek menggali lubang di bawah pondok terbabit untuk dijadikan tempat memproses samsu serta ‘gerai’ menjual arak tiruan sejak setahun lalu, ujarnya.

Tambah beliau, suspek serta barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian untuk tindakan lanjut.

Menurut Dimin, kes disiasat dibawah Seksyen 75 Akta Eksais 1976.

Beliau berkata, serbuan yang dilakukan itu berjaya memutuskan satu rangkaian sindiket penjualan arak tiruan di sekitar Pontian yang menyasarkan pekerja asing. – MalaysiaGazette