Dua lelaki tempatan terlibat penipuan penawaran kerja dalam talian mensasarkan warga tempatan berjaya dicekup dalam serbuan polis di kondominium di kawasan Cheras semalam.Gambar Ihsan JSJK KL.

KUALA LUMPUR – Satu sindiket terlibat dalam kegiatan penipuan dengan menawarkan kerja dalam talian ditumpaskan.

Dua suspek lelaki warga tempatan yang disyaki berperanan mencari mangsa untuk kegiatan penipuan itu ditangkap baru-baru ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Mahidisham Ishak berkata, semalam sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Daerah Sentul Cheras telah membuat serbuan di sebuah unit kondominium mewah di Cheras.

“Serbuan itu dilakukan selepas polis mengesyaki ada sindiket terlibat dalam kes penipuan tawaran kerja dalam talian mensasarkan warga tempatan.

“Hasil serbuan di rumah kondominium itu, dua lelaki warganegara tempatan berumur 23 dan 32 tahun yang dipercayai terlibat dalam kegiatan penipuan itu telah berjaya ditangkap,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mohd Mahidisham, polis menerusi pemeriksaan lanjut di rumah berkenaan juga telah merampas seunit komputer riba, enam unit telefon bimbit pelbagai jenama dan dua keping kad debit ATM.

Menurutnya, kes sedang disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

“Siasatan awal polis mendapati sindiket berkenaan telah mula beroperasi sejak Mei lalu dan menyasarkan mangsa warga tempatan.

“Justeru siasatan lanjut juga mendedahkan kedua-dua tangkapan berperanan sebagai operator untuk mendapatkan mangsa menggunakan medium media sosial,” ujarnya.

Kedua-dua suspek tangkapan terbabit kini direman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah sehingga 28 Oktober ini untuk membantu siasatan polis.- MalaysiaGazette