Suruhanjaya Sekuriti

KUALA LUMPUR – Industri kewangan Islam dijangka mencatatkan purata pertumbuhan tahunan sebanyak lima peratus dalam era pasca Covid-19 berdasarkan pelbagai petunjuk peluang yang wujud, kata Pengasas Bersama Alif Technologies Dr Farrukh Habib.

Beliau berkata, antara petunjuk peluang yang kukuh ialah peraturan kewangan Islam di negara baharu, pendigitalan bank serta pertumbuhan kewangan sosial seperti wakaf dan zakat.

Katanya, petunjuk peluang yang lemah, yang termasuk tokenisasi sukuk, pertumbuhan dalam pelaburan berimpak/dana alam sekitar, sosial, dan tadbir urus (ESG) serta kerajaan yang menyokong ekosistem teknologi kewangan (fintech) Islam.

“Pada era sebelum Covid, kita mempunyai pertumbuhan sebanyak 13.9 peratus pada 2019, merosot kepada sifar pada 2019/2020.

“Bagaimanapun, melangkah ke hadapan dari 2021, kita akan menyaksikan purata pertumbuhan sebanyak lima peratus dalam era pasca Covid,” katanya pada Persidangan Fintech SCxSC tahunan kelapan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini.

Farrukh menyampaikan pembentangan mengenai “Solving Global Challenges Using Islamic Finance” pada acara secara maya itu.

Beliau berkata, aset kewangan Islam menunjukkan pertumbuhan yang kukuh pada 2019 tetapi Covid-19 telah menjadi halangan kepada industri.

Menurut beliau, terdapat sebanyak 1,462 institusi kewangan Islam di seluruh dunia dengan pelaburan kewangan Islam sebanyak AS$4.93 bilion (US$1=RM4.15) dicatatkan pada 2019/2020.

“Ia masih merupakan industri yang besar dan boleh berkembang pesat dalam era pasca Covid-19,” katanya.

Beliau turut mengetengahkan kebimbangan utama peserta perbankan dan pasaran modal seperti gangguan rantaian bekalan, potensi kemelesetan global dan penurunan keyakinan pengguna yang akan mengurangkan penggunaan.

Oleh itu, Farrukh berkata kewangan Islam sosial seperti zakat, sukuk sosial, sedekah dan wakaf boleh menjadi instrumen penting dalam era pasca COVID-19 untuk menangani pelbagai isu seperti kemiskinan, inflasi dan kadar pengangguran yang tinggi. – MalaysiaGazette