Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim menunjukkan gambar hasil rampasan kes dadah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ 26 OKTOBER 2021.

KUALA LUMPUR – Kadar indeks kes penyalahgunaan dadah di ibu kota bagi tempoh tiga tahun dari tahun 2019 sehingga 24 Oktober lalu mencatatkan penurunan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, penurunan direkodkan susulan operasi berterusan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur memerangi aktiviti penyalahgunaan dadah.

“Berdasarkan statistik, sebanyak 12,949 kes direkodkan pada 2019 menurun kepada 9,048 kes (2020) manakala bagi tahun ini sehingga 24 Oktober lalu, sebanyak 7,765 kes direkodkan.

“Selain itu, seramai 16,949 individu ditahan membabitkan rampasan dadah bernilai RM29 juta pada 2019 manakala seramai 11,224 orang ditahan dengan RM149 juta dadah dirampas.

“Bagi tahun ini sehingga 24 Oktober lalu, seramai 9,732 individu sudah ditahan dengan rampasan dadah bernilai RM49 juta,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur hari ini.

Dalam perkembangan lain, Azmi berkata, sebanyak 776 kilogram (kg) dan 372 liter dadah pelbagai jenis bernilai lebih RM39.36 juta yang dirampas dari 2008 hingga tahun lalu akan dilupuskan JSJN Kuala Lumpur.

Jelas beliau, kesemua dadah berkenaan akan dilupuskan di Pusat Kualiti Alam, Bukit Pelandok, Negeri Sembilan esok.

Antara dadah utama yang akan dilupuskan terdiri daripada methamphetamine seberat 237 kg bernilai RM23.7 juta, kanabis 179 kg (RM8.96 juta), mitragynine 131 kg (RM13,000), heroin 55 kg (RM1.95 juta), kafein 14 kg (RM4,000) dan ketamin 10 kg (RM1.5 juta).

Katanya, pelupusan barang kes itu akan dilaksanakan mengikut peruntukan Perintah Tetap Ketua Polis Negara (PTKPN) D207.

Tambah beliau lagi, pihaknya turut melupuskan 13,935 kertas siasatan membabitkan Akta Dadah Berbahaya 1952 yang disiasat dari tahun 1982 hingga 2015 dan selesai kes di mahkamah serta mendapat perintah pelupusan. – MalaysiaGazette