Gambar hiasan.

KUANTAN –  Seorang peniaga berputih mata apabila menjadi mangsa pelaburan bitcoin tidak wujud menerusi laman sesawang melibatkan wang sebanyak RM186,923.

Ketua Bahagian Jabatan Sisasatan Jenayah Komersial Negeri Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, wanita berkenaan pada mulanya berkenalan dengan suspek menerusi Instagram sejak Mei lalu sebelum tertarik dengan perkongsian suspek mengenai pelaburan bitcoin.

“Pengadu telah berminat untuk melabur dalam pelaburan bitcoin dan suspek telah perkenalkan website http://h5.uniswapx3.com kepada pengadu.

“Pengadu telah membuat satu akaun pelaburan bitcoin didalam laman web yang diberikan oleh suspek itu dan berurusan dengan suspek mengunakan melalui WhatsApp,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Wazir, sepanjang pengadu membuat pelaburan bitcoin tersebut  sejumlah modal RM186,923.00 dimasukkan ke dalam 10 akaun peribadi berbeza bermula dari bulan Jun hingga Julai lalu.

“Sepanjang pengadu membuat pelaburan pengadu hanya pernah membuat sekali pengeluaran sahaja sejumlah RM1,000 pada 5 Julai 2021,” katanya.

Bermula penghujung  Julai, pengadu mengesyaki sesuatu yang pelik tentang pelaburan tersebut kerana semua modal yang dilaburkan dimasukkan kedalam akaun peribadi seperti yang diminta suspek.

Susulan itu, katanya, pengadu berusia 21 tahun telah memberitahu suspek ingin membuat pengeluaran wang namun suspek memberitahu ia hanya boleh dibuat selepas tiga bulan.

“Pada bulan Ogos 2021, pengadu telah menghantar e mel ke website tersebut untuk buat pengeluaran tetapi tiada jawapan dan pengadu telah hubunginya tetapi gagal selain gagal mengakses ke akaun laman sesawang pelaburan tersebut.

“Apabila menyedari dirinya telah ditipu, pengadu hadir ke Balai Polis Kuantan untuk membuat laporan,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan sebat dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette