charity scam
Inspector-General of Police Datuk Seri Mazlan Lazim.

KUCHING – Lebih 7,000 pegawai dan anggota tambahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terlibat dalam tugasan Pilihan Raya Negeri ke-12 (PRN-12) Sarawak akan datang, kata Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mazlan Lazim.

Katanya, jumlah ini akan ditambah jika diperlukan setelah PDRM memperoleh maklumat lengkap berhubung PRN-12 daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Setakat ini, jumlah anggota dan pegawai di Sarawak ada lebih 7,000 tetapi angkanya tidak dapat ditetapkan kerana kita belum dapat sepenuhnya pengumuman berkenaan PRN ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada 38 orang terdiri daripada asnaf, pesara polis dan anak yatim.

Menurut Mazlan, PDRM telah membuat persediaan rapi memandangkan PRN kali ini bakal dilangsungkan dengan pematuhan ketat prosedur operasi standard (SOP) kerana negara masih lagi berdepan pandemik COVID-19.

“Kita telah menerima arahan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tentang pelaksanaan SOP semasa PRN Sarawak ini. Jadi kita berharap sangat (mereka) yang nak pergi mengundi akan mematuhi SOP yang diberikan bagi memudahkan proses PRN itu nanti,” tambahnya. – Bernama