Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique. foto MOHD ADZLAN, 23 JULAI 2020.

KUALA LUMPUR – Kementerian Perpaduan Negara  telah melantik pasukan penyelidik dari Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui UKM Pakarunding untuk melaksanakan Kajian Indeks Perpaduan Nasional (IPNas) 2021.

Menterinya, Datuk Halimah Sadique berkata, kajian itu bagi mengukur tahap perpaduan di Malaysia dan dijadikan instrumen pengukuran rasmi tahap perpaduan dan keharmonian negara secara berkala dan berterusan.

Menurut beliau, IPNas 2021  dalah penting sebagai instrumen pengukuran rasmi tahap perpaduan dan keharmonian negara yang bertepatan dan selari dengan matlamat Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 di bawah Teras Strategik 7 iaitu Modal Sosial bertujuan meningkatkan persefahaman dan mewujudkan keharmonian yang berkekalan antara masyarakat berbilang kumpulan etnik dan agama di Malaysia.

“Dasar Perpaduan Negara (DPN) dalam menetapkan hala tuju perpaduan negara untuk memupuk, mengukuh serta memelihara perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Pengukuran tahap kemakmuran Malaysia di peringkat nasional menggunakan kaedah empirikal dan sistematik bagi memahami dan menjelaskan kedinamikan masyarakat.

“Kerangka struktur IPNas 2021 adalah berdasarkan kerangka Perpaduan Kefahaman Baharu yang mengandungi tiga komponen penting iaitu Perpaduan, Kesepaduan dan Penyatupaduan,” katanya pada sesi Pemberitahuan Pertanyaan Lisan pada persidangan Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (Machang-BN) yang bertanya adakah terdapat sebarang kajian yang membuat penilaian terhadap tahap ketegangan kaum di Malaysia dan apakah keputusan penilaian tersebut.

Halimah menambah, kajian IPNas 2021 itu juga telah mengambil kira amalan yang dilaksanakan di dalam dan luar negara.

Ujarnya, kajian perbandingan dan penandaarasan telah dibuat dengan negara-negara seperti New Zealand, Kanada serta Scanlon-Monash Index (SMI) of Social Cohesion di Australia di mana negara-negara ini turut menggunapakai konsep asas yang sama iaitu kesepaduan sosial.

Menurut beliau, objektif Kajian IPNas 2021 adalah untuk mengukur tahap perpaduan dan keharmonian negara untuk menggambarkan keadaan hubungan masyarakat pelbagai etnik di Malaysia bagi tahun 2021 di peringkat nasional dan negeri.

“Selain itu, ia bertujuan menghasilkan Laporan Indeks Perpaduan Nasional 2021 yang boleh diguna pakai sebagai ukuran tahap peraduan untuk tempoh dua tahun (2021 dan 2022); dan mencadangkan perancangan program yang lebih mantap.

“Pada masa sama, pewujudan IPNas 2021 akan menjadi kayu pengukur terhadap keberkesanan pelaksanaan inisiatif dan program-program yang dilaksanakan,” katanya.

Halimah memberitahu, IPNas 2021 juga akan dapat memberikan gambaran trend hubungan etnik, keharmonian dan kesepaduan sosial di Malaysia untuk pemerhati dan pelabur asing yang berminat membuat pelaburan di Malaysia.

Tambah beliau, kajian itu dijadualkan selesai pada Jun 2022. – MalaysiaGazette