KUANTAN – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan menubuhkan satu jawatankuasa siasatan kes kematian Mohd Diya Che Jusoh.

Pegawai bomba itu dilaporkan lemas ketika cuba menyelamatkan mangsa banjir di Kampung Sungai Putat, Melaka pada petang 20 Oktober dan meninggal dunia keesokan hari di Hospital Melaka.

Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, jawatankuasa itu dianggotai lima ahli yang melibatkan empat individu daripada JBPM dan seorang pakar perubatan.

“Siasatan bertujuan memfokuskan kepada kaedah pengurusan keseluruhan operasi dan rawatan segera yang diberikan kepada mangsa ketika kejadian.

“Jawatankuasa siasatan itu sekali gus memperhalusi prosedur operasi standard (SOP) ketika operasi menyelamat dan menambah baik garis panduan yang dilaksanakan oleh pihak bomba,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penutup Kursus Asas Pertauliahan Pegawai Bomba Bantuan (PBB) JBPM Pahang, di sini, hari ini.

Kursus berkenaan disertai 29 anggota bomba yang menjalani latihan selama 10 hari dalam meningkatkan kemahiran serta pendedahan dengan tugas kebombaan dan penyelamatan,

Tambah beliau, pihaknya mempertimbangan cadangan tambah baik SOP dalam menghadapi musim banjir. – MalaysiaGazette