Covid-19 cases Noor Hisham Abdullah infection
Dr. Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Sebanyak 7,595 kes sembuh Covid-19 direkodkan dalam tempoh 24 jam sehingga jam 12 tengahari tadi berbanding 6,148 kes positif harian.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, berikutan itu jumlah kumulatif kes sembuh adalah sebanyak 2,347,985 kes atau 95.9 peratus.

Katanya, daripada 6,148 kes positif harian sebanyak 21 kes adalah kes import membabitkan 13 warganegara dan lapan kes bukan warganegara.

“Manakala sebanyak 6,127 kes adalah tempatan iaitu 5,885 atau 96.1 peratus daripadanya adalah warganegara sementara 242 lagi adalah bukan warganegara (3.9 peratus),” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Sementara itu, Dr. Noor Hisham berkata,  katanya, sebanyak 563 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) yang mana 495 kes disahkan Covid-19 manakala 68 kes disyaki, kemungkinan, dan kes dalam siasatan.

Tambah beliau, sebanyak 292 kes lagi memerlukan bantuan pernafasan yang mana 211 kes disahkan Covid-19 manakala 81 kes disyaki, kemungkinan, dan kes dalam siasatan.

“Daripada 6,148 kes harian yang dilaporkan pada hari ini, 101 kes atau 1.6 peratus adalah kategori 3, 4, dan 5 manakala 6,047 kes atau 98.4 peratus lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2, ” ujarnya.

Menyentuh mengenai bacaan kadar kebolehjangkitan iaitu Rnaught (Rt) semasa, bacaan purata berada pada kadar 0.91, katanya.

Tambah beliau, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan mendahului negeri lain dengan bacaan Rt 1.02.

“Manakala lima negeri lain iaitu Melaka, Wilayah Persekutuan Putrajaya, Selangor, Sabah dan Kedah telah merekodkan bacaan nilai Rt antara 0.99 hingga 0.90,” katanya.

Johor mencatatkan nilai Rt terendah iaitu 0.81 manakala WP Labuan mencatatkan nilai Rt sifar hari ini, jelasnya. -MalaysiaGazette