Gambar hiasan.

KUANTAN – Seorang lelaki berusia 53 tahun maut dalam kemalangan selepas kereta dipandunya menyondol kenderaan hadapan di Jalan Tanjung Lumpur berhampiran Persimpangan Lampu Isyarat Teluk Sisek, Kuantan.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Kommsioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, kejadian berlaku 10.20 pagi semalam melibatkan tiga buah kenderaan.

“Hasil siasatan awal mendapati mangsa bekerja sebagai buruh memandu Nissan Almeera dari arah Tanjung Lumpur hendak menghala Bandar Kuantan.

“Setibanya di tempat kejadian, seorang pemandu Nissan Sentra yang sedang berhenti di lorong kanan kerana menunggu lampu isyarat merah, secara tiba-tiba dilanggar dari belakang.

“Pelanggaran itu menyebabkan Nissan Sentra menggelongsor ke hadapan dan terlanggar bahagian belakang kenderaaan ketiga yang berada paling hadapan,” katanya ketika dihubungi.

Hasil pemeriksaan mendapati kenderaan mangsa Nissan Sentra mengalami kerosakan pada bumper depan, lampu kiri dan kanan pecah serta plat hadapan rosak

Manakala kenderaan yang dilanggarnya pula mengalami kerosakan pada bumper depan dan belakang, bonet belakang, lampu depan kiri serta kanan dan lampu belakang kiri.

Jelas Wan Mohd Zahari, mangsa telah meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk proses bedah siasat.

Sampel darah dan air kencing simati akan diambil untuk ujian toksikologi dan kenderaan akan dibawa ke Puspakom untuk pemeriksaan.

Siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Wan Mohd Zahari meminta saksi yang melihat kejadian tampil memberikan maklumat dan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan. – MalaysiaGazette