logo parti muda
Gambar Hiasan. Foto FAREEZ FADZIL, 23 MAC 2021.

MELAKA – Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dikenakan kompaun sebanyak RM4,000 kerana mengingkari larangan berhimpun dengan mengadakan sidang akhbar di sini.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, ACP Afzanizar Ahmad dalam kenyataan malam ini berkata, tindakan itu diambil berikutan perhimpunan berkenaan menyukarkan penjarakan fizikal dilakukan.

“Kompaun tersebut dikeluarkan kepada penganjur program itu yang juga Pegawai Media MUDA Melaka.

“Ia selari dengan larangan berdasarkan peruntukan di bawah subperaturan 10(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021 yang dikeluarkan bermula Isnin lalu,” katanya.

 Berdasarkan peruntukan di bawah subperaturan 10(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) yang dibuat di bawah subseksyen 11(2) Akta 342, aktiviti perhimpunan adalah tidak dibenarkan.

Afzanizar berkata, polis juga sebelum itu telah menasihati penganjur agar memberhentikan sidang akhbar tersebut berdasarkan larangan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk sebarang aktiviti, perhimpunan atau majlis sosial berkaitan pilihan raya berkuat kuasa Isnin lepas sehingga 27 Nov depan, namun diingkari.

Beliau berkata, polis telah memanggil penganjur sidang media berkenaan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah dan telah memaklumkannya melakukan kesalahan di bawah peruntukan 10 P.U (A) 293 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPDBP) (Langkah-langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan (Pelan Pemulihan Negara) 2021 sebelum kompaun dikeluarkan.

Setiausaha Agung Penaja MUDA, Amira Aisya Abd Aziz menerusi akaun Twitternya dilapor berkata, parti telah dikompaun RM4,000 selepas mengadakan sidang akhbar berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di hadapan Bangunan Stadhuys, Banda Hilir tengah hari tadi. – Bernama