Gelagat banduan di dalam sel penjara ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Penjara Kajang, Kajang, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 19 APRIL 2020

KUALA LUMPUR – Pelawat yang lengkap dengan dua dos vaksin Covid-19 dibenar berjumpa dan melawat penghuni penjara.

Jabatan Penjara Malaysia berkata, kebenaran lawatan ini berkuatkuasa serta-merta dan digunapakai untuk penjara di negeri-negeri yang sedang menjalani Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 4 seperti yang ditetapkan kerajaan dan Majlis Keselamatan Negara.

Namun, para pelawat dikehendaki mematuhi beberapa syarat dan garis panduan ketat bagi pengawalan dan pencegahan Covid-19.

“Pelawat boleh membuat tempahan terlebih dahulu untuk lawatan mereka ke atas penghuni melalui kaedah Sistem i-Visit (ivisit.prison.gov.my) , panggilan telefon dan menerusi emel atau surat,” kata jabatan itu dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, pihak institusi penjara akan menetapkan tarikh dan sesi perjumpaan selepas tempahan dibuat oleh pelawat.

Setiap pelawat hanya dibenarkan melawat tidak lebih 30 minit.

“Hanya dua orang pelawat sahaja dibenarkan dan pendaftaran terbuka atau  ‘walk in’ adalah tidak dibenarkan.

“Bagi pelawat warga emas, kebenaran yang diberikan adalah bersyarat iaitu mesti dalam keadaan sihat dan tidak bergejala.

“Untuk sebarang maklumat lanjut berkaitan kebenaran lawatan penjara, sila hubungi institusi berkaitan dan maklumat institusi boleh didapati di laman web Jabatan Penjara Malaysia iaitu www.prison.gov.my,” kata Jabatan Penjara Malaysia.- MalaysiaGazette