Notis kompaun yang dikeluarkan oleh Pejabat Kesihatan Kepong malam tadi.

KUALA LUMPUR – Pejabat Kesihatan Kepong telah mengeluarkan kompaun di bawah Akta 342 kepada Barisan Nasional (BN) malam tadi kerana telah melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara bagi penganjuran majlis sosial.

Kompaun tersebut dibuat atas nama Setiausaha Eksekutif Barisan Nasional di Dewan Tun Hussin Onn Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini atas kesalahan gagal memastikan penjarakan sosial.

BN malam tadi melancarkan jentera pilihan raya bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dengan dihadiri oleh Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan hampir kesemua pemimpin kanan parti itu di peringkat Pusat dan juga negeri.

PRN Melaka dijadual pada 20 November ini.

Tindakan tersebut turut dikongsi Kementerian Kesihatan di laman sosial.

Semalam Presiden parti Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mempersoalkan mengapa tiada sebarang tindakan diambil terhadap BN kerana penganjuran pelancaran jentera parti itu yang disiarkan secara langsung jelas menampakkan pelanggaran SOP.

Beliau menyifatkan perkara tersebut tidak adil kerana partinya didenda RM4,000 kerana mengadakan sidang media di Melaka biarpun hanya 10 minit dan mematuhi SOP dengan menjaga penjarakan sosial. – MalaysiaGazette