Mayat mangsa ditemui di Jelutong hari ini iaitu kira-kira satu kilometer dari lokasi dia bertindak terjun.

GEORGE TOWN – Mayat lelaki yang dikhuatiri lemas selepas bertindak terjun di Jambatan Pulau Pinang ditemui di kawasan perairan Jelutong di sini, hari ini.

Mayat mangsa, Chew Boon Sheng, 33 tahun itu ditemui pada jam 11.20 pagi kira-kira satu kilometer daripada lokasi dia bertindak terjun.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak, A’azelan Hassan berkata, mangsa ditemui Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) di perairan Jelutong sebelum dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin di Batu Uban di sini.

“Pihak polis mengesahkan mangsa adalah lelaki yang dipercayai terjun dari Jambatan Pulau Pinang semalam.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk proses bedah siasat.

“Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Mayat dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk proses pengecaman serta bedah siasat,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Operasi yang disertai Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Bukit Bendera itu tamat pada jam 1.24 petang.

MalaysiaGazette semalam melaporkan seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh dari Jambatan Pulau Pinang di Kilometer 6.8 arah Pusat Bandar, di sini.

Artikel berkaitan:

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam pada jam 5.48 petang yang memaklumkan lelaki berusia 33 tahun telah bertindak terjun ke dalam laut.

Mangsa yang menetap di Taman Helang Jaya, Nibong Tebal itu turut meninggalkan sebuah kereta jenis Proton Waja di atas Jambatan Pulau Pinang serta kad pengenalan diri. – MalaysiaGazette