Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad ketika mempengerusikan Persidangan Meja Bulat dan Mesyuarat Penasihat Industri JPPKK bagi tahun 2021 di The Everly, Putrajaya. Foto KPT.

KUALA LUMPUR – Majlis Penasihat Industri Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) ini merupakan platform peneraju kepada industri dalam memberikan maklum balas dan cadangan berkaitan dengan penambahbaikan ekosistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, ia juga bertindak sebagai penghubung kerjasama antara jabatan dan industri dalam mewujudkan tenaga kerja berdaya tahan dan berkemahiran tinggi yang diperlukan industri.

“Platform ini bertujuan untuk mendapatkan cadangan dan maklum balas pihak industri terhadap usaha-usaha yang dilaksanakan oleh kementerian bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan politeknik dan kolej komuniti.

“Jika kita soroti catatan Laporan Kajian Pengesanan Graduan, didapati bahawa graduan lepasan politeknik sentiasa menjadi buruan para majikan.

“Ini terbukti apabila kadar kebolehpasaran graduan politeknik bagi tempoh lima tahun sebelum adalah melebihi 90 peratus,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Sebelum itu, Noraini mempengerusikan Persidangan Meja Bulat Majlis Penasihat Industri JPPKK di Putrajaya.

Menurutnya, pada tahun 2018, kadar kebolehpasaran graduan politeknik direkodkan sebanyak 96.1 peratus sementara pada tahun 2019 pula ialah 96.7 peratus.

“Walaupun pada tahun 2020 terdapat sedikit penurunan kesan daripada pandemik Covid-19, kadar kebolehpasaran graduan politeknik masih melepasi catatan nasional, iaitu 91.2 peratus,” jelasnya.

Menurut beliau, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti telah banyak menjalinkan kerjasama dengan pihak industri melalui pelbagai inisiatif seperti WBL@POLYCC, Structured Internship Programme (SIP), CEO@PolyCC, Industry On Campus, sumbangan dari Industri dalam bentuk bantuan kewangan pengajian dan lain-lain.

Antara yang memberikan sumbangan khususnya dari segi bantuan kewangan atau biasiswa kepada pelajar adalah Yayasan Tenaga Nasional (YTN), Yayasan Sime Darby (YSD), SIRIM QAS International Sdn. Bhd. dan PKT Logistics Group Sdn. Bhd.

Beliau juga menyeru agar lebih banyak pihak industri bekerjasama dengan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) terutamanya pihak JPPKK bagi pembiayaan pensijilan profesional kepada graduan.

Seiring dengan Rancangan Malaysia Kedua Belas, KPT akan menumpukan penjajaran semula pasaran buruh serta pendidikan TVET bagi mencapai pertumbuhan yang inklusif dan mampan serta pembangunan bakat tersedia yang akan memenuhi keperluan masa hadapan terutama dalam mendepani fasa endemik di Malaysia.

Beliau mengalu-alukan sebarang bentuk idea, sokongan, bantuan dan kerjasama erat daripada pihak industri agar dapat membantu pembangunan modal insan negara terutamanya yang berkaitan dengan TVET.-

Noraini dalam masa yang sama juga mengalu-alukan pelantikan Tan Sri Sufri Md Zin sebagai Pengerusi Majlis Penasihat Industri JPPKK menggantikan Tan Sri Azman Haron Shah yang telah berkhidmat sejak Majlis Penasihat Industri JPPKK ditubuhkan pada April 2008.- MalaysiaGazette