Gan Boon Aun

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Sekuriti (SC) sedang mengesan Gan Boon Aun, bekas Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Transmile.

Dalam kenyataan di sini, SC berkata, pihaknya telah memperoleh waran tangkap ke atas Gan pada 18 Oktober lalu.

Waran tangkap dikeluarkan mahkamah tinggi apabila Gan gagal hadir untuk mendengar rayuannya selepas beberapa percubaan dibuat untuk memastikan kehadirannya.

Gan disabitkan pada 27 Ogos 2020 kerana dengan sengaja memberikan kenyataan mengelirukan berkaitan hasil Transmile Group Berhad dalam laporan suku tahunan Syarikat mengenai keputusan disatukan tidak diaudit bagi Tahun Kewangan berakhir 31 Disember 2006.

Kenyataan mengelirukan mengenai jumlah hasil terdiri daripada lebih RM333 juta jualan rekaan.

Gan disabitkan kesalahan dan dijatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM2.5 juta oleh mahkamah sesyen.

Bagaimanapun, Gan memfailkan rayuan terhadap sabitannya dan SC memfailkan rayuan balas terhadap hukuman yang dijatuhkan oleh mahkamah sesyen terhadap Gan.

Sejak itu, mahkamah tinggi menolak rayuan Gan berikutan kegagalannya untuk hadir ke mahkamah untuk pendengaran rayuannya.

Mahkamah telah menetapkan 13 Disember 2021 untuk rayuan balas SC terhadap hukuman itu, sementara menunggu pelaksanaan waran tangkap terhadap Gan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat tentang Gan boleh menghubungi SC di talian: +6012 248
4186 / +6017 360 8329 /+6012 604 3195 atau e-mel: [email protected]. – MalaysiaGazette