Idris Ahmad

KUALA LUMPUR – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah melakukan sebanyak 10 kajian berkaitan ajaran sesat sepanjang tahun 2020 sehingga suku ketiga tahun 2021 bagi membenterasnya.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad berkata, JAKIM juga sentiasa bekerjasama dengan pihak berkuasa agama negeri-negeri bagi membenteras ajaran-ajaran yang menyeleweng daripada ajaran Islam.

Jelas beliau, pihak penguat kuasa agama di Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) turut melakukan operasi terhadap aktiviti ajaran sesat berpandukan laporan awam dan risikan.

“Bagi tahun 2020 sebanyak 33 kes dilaporkan melibatkan pemujaan salah, perbuatan/ ajaran salah, doktrin palsu dan dakwaan palsu.

“Manakala sebanyak 14 kes dilaporkan pada bulan Januari hingga September lalu di bawah jenis kesalahan yang sama,” katanya pada sesi Pemberitahuan Pertanyaan Lisan di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Parit, Datuk Mohd. Nizar Zakaria (BN) yang bertanya jumlah laporan berkenaan ajaran sesat yang telah dilaporkan sepanjang tahun 2020 sehingga suku ketiga tahun 2021 dan apakah usaha berterusan yang telah dilaksanakan kerajaan bagi mencegah penyebaran ajaran sesat.

Mengulas lanjut, Idris menjelaskan, bagi membendung penularan ajaran sesat ini, JAKIM telah menyelaras tindakan melalui jawatankuasa sedia ada dengan Jabatan Agama Islam Negeri antaranya Jawatankuasa Pemandu Ajaran Sesat (JAPAS), Jawatankuasa Penyelarasan Penyelidikan Islam Kebangsaan (JAPPIS) dan Panel Pakar Akidah (PPA).

Ujar beliau, JAKIM turut memberi tumpuan kepada memperkukuhkan akidah ummah melalui pembudayaan ilmu dan pentarbiahan yang komprehensif dan berkesan dengan kerjasama MAIN, JAIN serta agensi- agensi lain yang berkaitan.

“Antara pendekatan yang telah, sedang dan akan dilaksanakan oleh JAKIM untuk menangani isu penyelewengan akidah umat Islam di Malaysia dengan bekerjasama dengan MAIN dan JAIN dalam aspek penyelidikan mengenai ajaran dan doktrin yang meragukan atau disyaki menyeleweng daripada agama Islam.

“JAKIM juga mengadakan pertemuan dan sesi dialog secara tertutup bersama kumpulan atau individu yang terlibat dengan ajaran yang meragukan,” katanya. – MalaysiaGazette