Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar bercakap dalam sidang media selepas menumpaskan tiga penjenayah menagih dan mengedar dadah menggunakan kereta Almera dicekup dalam serbuan semalam.Gambar MalaysiaGazette

KUALA LUMPUR – Taktik tiga rakan terbabit dalam jenayah pengedaran dadah secara bergerak menggunakan kenderaan Nissan Almera bagi mengelak dihidu pihak berkuasa akhirnya terbongkar.

Suspek yang bekerja sebagai tukang masak di sebuah hotel di ibu negara, penghantar makanan dan jurugambar bebas berjaya dikesan dalam keadaan mencurigakan ketika menaiki kereta berwarna hitam.

Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, Ketua Balai Polis Cheras bersama anggota operasi Pencegahan Jenayah telah menahan tiga lelaki berkenaan di tepi Jalan Menara Gading 1, Taman Connaught, Cheras.

Hasil pemeriksaan polis berjaya merampas 500 biji pil disyaki dadah jenis eramin 5 seberat 128.5 gram serta daun ketum seberat satu kilogram.

Bercakap dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras, Muhammad Idzam berkata, ketiga-tiga suspek berumur antara 19 hingga 37 tahun.

Suspek pertama tukang masak mempunyai satu rekod jenayah lampau dan suspek kedua penghantar makanan mempunyai dua rekod jenayah berkaitan dadah.

“Nilai rampasan dadah dianggarkan berjumlah RM7,500 manakala rampasan daun ketum boleh dibekalkan kepada 500 penagih dadah di sekitar Lembah Klang.

“Hasil siasatan juga mendapati ketiga-tiga suspek merupakan penagih dan juga pengedar dadah manakala sumber bekalan masih dalam siasatan polis.

“Ketiga-tiga mereka dilibatkan dalam ujian air kencing dan hasil keputusan disahkan positif dadah.

“Mereka telah dihadapkan ke mahkamah untuk proses permohonan reman dan dibenarkan reman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 3 November 2021 di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 39B, Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,” tegasnya. – MalaysiaGazette