Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Aziz membuat Pembentangan Belanjawan 2022 di Dewan Rakyat, Parlimen. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 29 OKTOBER 2021.

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan menyediakan sebanyak 600,00 peluang pekerjaan dengan peruntukan RM4.8 bilion pada tahun depan menerusi inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia (JaminKerja).

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata, ia bagi membantu 750,000 rakyat yang masih menganggur akibat pandemik Covid-19.

“Seperti semua sedia maklum, pandemik Covid-19 memberi kesan signifikan kepada pekerjaan dan mata pencarian rakyat, dengan kadar pengangguran meningkat sehingga 5.3 peratus pada Mei 2020.

“Sungguh pun ia kini sudah menyederhana dengan kadar 4.6 peratus pada Ogos 2021, hampir 750,000 saudara-saudari kita yang masih menganggur perlu dibantu.

“Oleh itu, mengambil semangat konsep ‘jaminan kerja’, bagi tahun depan, kerajaan menerusi inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia (atau JaminKerja) akan menjamin penyediaan 600,000 peluang pekerjaan dengan peruntukan berjumlah RM4.8 bilion,” katanya ketika membentangkan Bajet 2022 di Dewan Rakyat di hari ini.

Tengku Zafrul menambah, kerajaan melalui PERKESO akan meneruskan usaha pengambilan pekerja melalui inisiatif insentif penggajian JaminKerja dengan sasaran 300,000 orang dan peruntukan RM2 bilion.

Di bawah inisiatif itu, kata beliau, kepada majikan yang mengambil Keluarga Malaysia yang tidak aktif bekerja, kerajaan akan memberikan insentif sebanyak 20 peratus daripada gaji bulanan bagi tempoh enam bulan pertama dan 30 peratus bagi enam bulan berikutnya tertakluk kepada pekerjaan bergaji RM1,500 ke atas.

“Selain itu, bagi menggalakkan majikan menyediakan peluang pekerjaan kepada kumpulan tumpuan seperti OKU, Orang Asli dan banduan pula, kerajaan akan memberikan insentif sebanyak 30 peratus daripada gaji bulanan bagi tempoh enam bulan pertama dan 40 peratus bagi enam bulan berikutnya tertakluk kepada pekerjaan bergaji RM1,200 ke atas.

“Bagi menggalakkan wanita kembali bekerja, insentif ini turut dipanjangkan kepada majikan yang menggaji golongan wanita tidak bekerja melebihi 365 hari, ibu tunggal dan suri rumah.

“Selanjutnya, inisiatif Malaysia Short-term Employment Programme atau MySTEP akan diteruskan dengan menawarkan 80,000 peluang pekerjaan secara kontrak merangkumi 50,000 pekerjaan dalam sektor awam dan 30,000 pekerjaan dalam Syarikat Berkaitan Kerajaan mulai Januari 2022. – MalaysiaGazette