Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Setiap inisiatif kerajaan terhadap penjawat awam yang diumum menerusi Bajet 2022 merupakan penghargaan yang menggembirakan dan menjaga kebajikan kira-kira 1.6 juta warganya.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Adnan Mat berkata, terbukti kerajaan komited untuk meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan awam.

“Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) berterima kasih kepada kerajaan atas keprihatinan dan komitmen untuk terus mendukung penyampaian perkhidmatan awam melalui inisiatif pembaharuan penyampaian perkhidmatan dan kebajikan penjawat awam.

“CUEPACS percaya penjawat awam juga tetap menerima manfaat lain melalui pelbagai inisiatif untuk rakyat dalam Belanjawan 2022,” katanya menerusi kenyataan.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz yang membentangkan Bajet 2022 hari ini mengumumkan
bantuan khas kewangan sebanyak RM700 dan serta gantian cuti rehat yang dinaikkan daripada maksimum 150 hari kepada 160 hari.

Kata Adnan, CUEPACS berharap kerajaan akan melaksanakan segala inisiatif kepada penjawat awam serta rakyat yang diumumkan dalam belanjawan kali ini.

“Untuk makluman inisiatif kerajaan membenarkan penebusan awal Gantian Cuti Rehat sehingga 50 peratus atau 80 hari merupakan perkara yang telah diumumkan dalam Belanjawan 2020 tetapi tidak dilaksanakan sehingga kini.

“CUEPACS berharap ia akan dilaksanakan dengan segera tanpa sebarang kajian semula. Setiap belanjawan yang dibentangkan sewajarnya telah melalui kajian yang terperinci sebelum diumumkan,” tambah beliau.

Selain itu Adnan turut berharap kerajaan mengamalkan sifat terbuka dalam membuka pintu rundingan dengan warga pekerja terutama dengan kesatuan sekerja yang menjadi suara dalam menyalurkan segala permasalahan pekerja.

“CUEPACS berharap kerajaan akan terus membuka pintu rundingan bagi membolehkan penambahbaikan dilakukan melibatkan perkhidmatan awam seperti semakan semula Sistem Saraan Malaysia yang telah digunakan oleh perkhidmatan awam sejak November 2002 serta pelaksanaan gaji minimum yang baharu sesuai dengan persekitaran ekonomi semasa negara.

“Semakan semula sistem saraan perkhidmatan awam dan gaji minimum ini selari dengan hasrat kerajaan mahu meningkatkan purata pendapatan isi rumah rakyat kepada RM10,000 sebulan pada tahun 2025.,” katanya. – MalaysiaGazette