Dr. Ahmad Basri Ibrahim (kanan) memberi penerangan berkenaan Hibah Amanah dan Pengisytiharan Amanah dalam program Fiesta Labur PNB @Home.

KUALA LUMPUR – Pengurusan harta selepas kematian merupakan perkara yang sering menjadi pertikaian dalam kalangan masyarkat.

Demi memudahkan urusan harta pemegang unit Amanah Saham Bumiputera (ASB), menyediakan produk hibah amanah.

Ketua Pengurusan Syariah Permodalan Nasional Berhad (PNB) Dr. Ahmad Basri Ibrahim berkata,  hibah amanah merupakan salah satu produk pengurusan harta yang memberikan kelebihan kepada pemberi dan penerima.

Produk ini katanya, diwujudkan bagi mengelakkan proses agihan harta terbantut seterusnya mencetuskan dilema kepada pewaris atau penerima.

Beliau berkata, salah satu daripada produk ASB ini mempunyai elemen amanah untuk memastikan waris atau penama harta menerima terus hak yang telah ditetapkan menerusi kontrak yang dipersetujui.

“Bila kita menawarkan hibah amanah, itu adalah salah satu cara memudahkan proses pembahagian harta, selain faraid mengelakkan berlaku pertikaian di antara ahli keluarga untuk menguruskan harta dengan cepat dan digunakan harta tersebut,” katanya dalam program Fiesta Labur PNB @Home, bersama ASNB yang disiarkan secara langsung menerusi platform Facebook Live, hari ini.

Jelas Ahmad Basri, kelebihan hibah amanah ini adalah pemberi boleh meletakkan 10 penama yang tidak menggunakan sistem lain seperti faraid, wasiat dan wakaf, sebagai waris hartanya.

“Sebenarnya kita kena ingat faraid bukan satu-satunya pengurusan harta selepas kematian, ada kontrak lain untuk memudahkan kita menguruskan harta,” tambahnya.

Sehubungan itu, pemberi tidak perlu khuatir harta peninggalan dalam bentuk unit saham akan disalahgunakan oleh pihak lain selepas kematiannya.

Mengulas lebih lanjut menurut Ahmad Basri, proses pengagihan kepada penama juga hanya dalam tempoh 21 hari selepas pemberi meninggal dunia.

Bagi pemegang saham ASB yang bukan Islam, cara agihan harta boleh digunakan menerusi pengisytiharan amanah.

Tambah beliau, kedua-dua produk ini ditawarkan dengan kos pendaftaran sebanyak RM180 sekali bayar manakala yuran tahunan serendah RM10.- MalaysiaGazette