Salah seorang pendatang tanpa izin yang ditahan pasukan Tentera Darat.

KOTA TINGGI – Seramai 52 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warga Indonesia ditahan Tentera Darat (TD) di Pasir Logok, di sini, awal pagi tadi.

Menurut Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Divisyen), pada jam 2.30 pagi anggota petugas Pos Pemerhati mengesan kehadiran mereka sebelum sebelum menghantar Tim Quick Reaction Force (QRF) menjejakinya.

52 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) Warganegara Indonesia berjaya ditahan Tentera Darat Malaysia (TDM) di tepi pantai Pasir Logok di sini awal pagi tadi.

“Hasil maklumat tersebut, pasukan telah menghantar Tim Quick Reaction Force (QRF) bagi melaksanakan serbuan sekitar jam 2.50 pagi dan berjaya menahan 22 PATI yang baharu mendarat.

“Sekitar jam 4 pagi, 26 lagi PATI ditahan di lokasi berhampiran. Manakala 3 lagi PATI turut ditahan pada jam 9.30 pagi dan seorang PATI pada jam 11.40 pagi,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Tambahnya, kesemua PATI tersebut terdiri daripada 44 lelaki dan lapan wanita yang berusia antara 19 hingga 53 tahun yang mana mereka dipercayai baharu saja tiba dan cuba memasuki negara ini menerusi jalan yang tidak sah.

Menurut kenyataan itu, nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM20,117 melibatkan RM15,713, matawang rupiah Indonesia IDR29,668,152 (RM8,640) bersama-sama 35 buah telefon bimbit serta barang kemas.

Kesemua PATI yang ditahan itu dibawa ke Markas Taktikal Tanjung Sepang untuk menjalani pemeriksaan serta saringan Covid-19 sebelum diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia Setia Tropika, Kempas, Johor Bahru dan laporan telah dibuat di Balai Polis Bayu Damai, ujarnya. – MalaysiaGazette