BUTTERWORTH – Tiga lelaki warga Myanmar dihadapkan ke Mahkamah Majistret (Munisipal) di sini, hari ini atas pertuduhan menculik rakan senegara dan meminta tebusan RM3,000 pada Oktober lalu.

Tertuduh, Abdul Rahim Ali Husson, 38; Taher Ahmad Mustafa Ahmad, 45 dan Mostaque Ahmed Rofiq Ahmed, 36, masing-masing hanya mengangguk faham selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan dalam Bahasa Melayu di hadapan Majistret Noor Farah Hazwani Osman.

Abdul Rahim (baju merah jambu), Taher Ahmad (baju hitam) serta Mostaque Ahmed tidak dibenarkan ikat jamin.

Berdasarkan pertuduhan, ketiga-tiga buruh kontrak itu bersama seorang yang masih bebas didakwa menculik seorang lelaki warga Myanmar bernama Saddik Mohammad Jalil, 26 tahun dengan niat untuk mendapatkan wang tebusan berjumlah RM3,000.

Kesemua mereka dilaporkan melakukan kesalahan itu kira-kira jam 8.10 malam bermula 21 hingga 24 Oktober lalu di 175 Kampung Masjid Sungai Layar, Sungai Petani, Kedah.

Semua tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 3 Akta Culik 1961 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 3 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan dan tiada jaminan ditawarkan oleh Noor Farah Hazwani.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 3 Disember depan bagi mengemukakan laporan-laporan berkaitan termasuk laporan kimia.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurameera Shahrul Azrin dan tiada peguam mewakili ketiga-tiga tertuduh.

ARTIKEL BERKAITAN

9 termasuk dua warga tempatan ditahan disyaki terlibat culik lelaki Rohingya

MalaysiaGazette pada Jumaat lalu melaporkan, polis Pulau Pinang menahan sembilan individu termasuk tujuh warga Rohingya yang terlibat dalam satu kes culik dalam beberapa serbuan di negeri ini dan Sungai Petani, Kedah pada 25 Oktober lalu.

Kesemua suspek berusia lingkungan 21 hingga 48 tahun itu terdiri daripada tujuh lelaki Rohingya serta masing-masing seorang wanita dan lelaki warga tempatan.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita yang mendakwa pekerjanya yang juga warga Rohingya berusia 26 tahun dilarikan dua lelaki menggunakan sebuah kereta jenis Perodua Viva di hadapan sebuah kilang di Batu Kawan pada jam 10.43 malam 21 Oktober lalu.

“Susulan itu, beberapa siri serbuan dilakukan yang membawa kepada tangkapan sembilan suspek termasuk seorang wanita.

“Kesemua warga Rohingya yang ditahan dalam kes ini mempunyai kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) yang sah.

“Dalam serbuan itu, pihak polis turut merampas wang tebusan berjumlah RM3,000 yang diberikan keluarga mangsa kepada suspek serta kereta Viva yang digunakan untuk melarikan mangsa,” katanya pada sidang media di IPK Pulau Pinang. – MalaysiaGazette